Seorang wanita langsung tidak menyangka bahawa kehadiran insan dipanggil kakak ipar boleh menyebabkan mentalnya merasa seperti didera setiap hari.
Lebih memburukkan keadaan, wanita yang mesra disapa Cinta itu terpaksa bertemu kakak iparnya hampir setiap hari berikutan mereka sekeluarga tinggal berdekatan.
Enggan berpindah dari kediaman milik suami semata-mata kerana iparnya, berikut perkongsian Cinta yang kian merasa bersalah selepas mendoakan orang lain mati.
“Persoalan aku, berdosakah kalau doakan seseorang itu cepat mati? Aku sudah tak tahan sangat pendam sakit hati, diseksa mental hari-hari. Orang yang didoakan itu adalah ipar aku sendiri iaitu kakak kepada suami. Walaupun bukan tinggal serumah, tetapi kediaman kami berdekatan. Jadi hari-hari berjumpa.
“Selalunya, kakak ipar yang akan ke rumah aku. Sebabnya aku memang tidak akan suka-suka menjejakkan kaki ke kediamannya tanpa apa-apa sebab. Kakak ipar kalau datang rumah, memang dari jauh lagi dia akan beri salam dan menjerit panggil aku. Suara dia memang kuat macam petir.
“Kakak ipar akan panggil banyak kali selagi aku tak buka pintu. Kalau masih tak buka juga, dia akan intai dan ketuk tingkap bilik. Pernah sekali itu aku buat tak tahu. Kakak ipar boleh telefon suami yang tengah bekerja. Dia kemudian akan menghantar mesej dekat kumpulan sembang keluarga dalam aplikasi Whatsapp.
“Kakak ipar akan mengadu yang aku tak dengar dia ketuk pintu. Dia nak letak anak untuk bermain dirumah aku. Tujuannya, enggan anaknya mengamuk kerana mahu mengikut ayahnya keluar. Sudahnya, anak dia mengamuk juga. Tetapi kakak ipar ini macam salahkan aku sebab tak buka pintu.
“Aku ini bukanlah kejam sangat. Tetapi anak aku masih bayi, baru melelapkan mata pula. Tak akan nak melayan kerenag keluarga mereka pula. Itu baru satu dari seribu hal yang terjadi. Aku hadap kakak ipar hari-hari sepanjang tujuh tahun perkahwinan. Lagi satu sebab aku malas bersembang kerana dia suka mengkritik orang.
“Aku ini memang tak terkira berapa kali dikritik kakak ipar. Dari segi penampilan, bab jaga anak, cara berpantang, tidurkan anak, cara pakaikan baju mereka dan sampai hal-hal dalam rumah aku pun disibuknya. Macam cara lipat dan sidai pakaian serta kaedah siang ikan pun salah. Serba serbi salahlah bagi dia.
“Mata dia macam lalat tahu tak. Ada sahaja kesalahan dimatanya. Kalaulah nak aku senaraikan satu-satu, tak tertulis rasanya. Aku pernah melawan cakap dia sebab tak tahan sangat. Alih-alih nampak aku juga yang salah. Itu cerita dengan akulah. Kakak ipar juga suka menyibuk ambil tahu hal adik-beradik dan sepupu sepapat aku.
“Kakak ipar memang kenal keluarga aku sebab dia suka menyibuk. Mungkin dia rasa macam peramah apabila berbual, bertanya itu dan ini. Tetapi mulutnya itu tak pandai jaga, cakap main lepas sahaja. Contoh macam sepupu aku. Anak sulungnya berumur 4 tahun masih belum bercakap, sangat aktif dan susah duduk diam.
“Boleh pula depan-depan sepupu, kakak ipar cakap mesti tertekan jaga budak yang macam itu. Katanya anak-anak dari kecil kena rajin bercakap dengan dia. Anak-anak dia tiada masalah sebab kononnya kakak ipar rajin bercakap dengan mereka. Motif cakap macam itu. Main hembus sahaja. Tak fikir perasaan orang lain.
“Kakak ipar ingat orang akan kagum dengan dia ke kalau cakap macam itu. Padahal orang menyampah. Anak-anak dia pun buas juga, datang rumah melompat-lompat atas sofa, berlari ke sana dan sini sambil terjerit-jerit. Bagus sangatlah ajaran dia itu. Adik aku pun kena juga. Tetapi kakak ipar hanya bercakap dengan aku.
“Kakak ipar cakap adik ipar aku sudah lama berkahwin tak dapat anak, jadi dia suruh berurut dengan mak cik mana entah. Dalam hati pelik, kenapa dia nak menyibuk hal orang lain. Tetapi aku senyap sahaja, malas nak layan dia berbual. Suami pula jenis tak ambik kisah sangat. Katanya biasalah, abaikan sahaja.
“Suami jenis bercakap lemah-lembut, tak pernah tinggikan suara pada aku. Seorang ayah yang baik dan bertanggungjawab. Aku sangatlah bersyukur dikurniakan suami sebegitu. Cuma kakak ipar memang puaka sungguh. Dia pula ibarat ibu kepada adik-beradik selepas pemergian orang tua mereka.
“Jadi, mereka seperti redha sahajalah dengan perangai dan mulut kakak ipar. Banyak lagi hal lain terjadi, tetapi aku rasa sudah cukup panjang sangat. Aku pernah marah dia balik masa ‘meletup’ sebab tak tahan sangat. Seminggu kakak ipar tak bertegur sapa dengan aku, aman sedikit rasanya. Tetapi dia buat balik perangai sama.
“Nak suruh aku pindah, memang taklah. Sebab rumah ini suamiku sendiri yang bina di atas tanah keluarganya. Mana mungkinlah nak pindah, rumah sendiri. Dalam hati aku memang hari-hari doakan agar kakak ipar mati cepat. Baru tenteram hidup. Mungkinkah hati aku yang bermasalah?” Kongsinya dalam forum di atas talian.
Baca juga: “Ayah perlekeh suami depan saudara mara sebab gaji tak sampai RM3k, siap label kami berdua daif”