Status anak perkahwinan sumbang mahram kini menjadi topik perbincangan hangat selepas isu tersebut diangkat menjadi tema dalam drama bersiri TV3, baru-baru ini.
Mengundang tanda tanya, ramai yang masih keliru mengenai hukum menggugurkan kandungan anak sumbang haram seperti ditayangkan dalam babak drama tersebut.
Seorang penceramah bebas dikenali ramai iaitu Dr Kamilin Jamilin kemudian tampil memberikan penjelasan mengenai isu ini menerusi hantaran di akaun TikTok miliknya.
Kamilin tidak menafikan bahawa perhubungan sumbang mahram di negara ini masih tidak dapat dibendung sepenuhnya kerana beberapa faktor termasuk rogol dan zina.
“Walaupun perit untuk kita sentuh isu (sumbang mahram), tetapi inilah realiti dalam masyarakat yang banyak beri kesan negatif. Kadang-kadang berpunca dari zina, suka sama suka, atau rogol.
“Boleh jadi juga tak sengaja terkahwin. Mereka tak tahu pasangan itu mahram atau adik-beradik misalnya kerana ayah berpoligami secara rahsia. Senario terburuk bila sampai mengandungkan anak.
“Masa itu barulah rasa menyesal. Malu yang amat sangat, risau akan masa depan dan mengalami kemurungan. Jadi ramai tertanya-tanya, boleh atau tidak gugurkan kandungan sumbang mahram itu?,” katanya.
Dakwa Kamilin, majoriti ulama berpendapat bahawa kandungan anak hasil sumbang mahram hukumnya ‘harus’ digugurkan jika belum berusia empat bulan atau 120 hari.
Namun prosedur ini hanya boleh dilakukan dengan asbab yang munasabah sahaja selain tidak memberikan sebarang kemudaratan kepada kesihatan atau keadaan ibu.
Sebaliknya sekiranya janin tersebut sudah berusia empat bulan ataupun lebih, haram hukumnya untuk digugurkan kerana anak dalam kandungan sudah dikira bernyawa.
Walau bagaimanapun, Dr Kamilin turut mengingatkan bahawa anak yang dilahirkan dari hasil sumbang mahram tidak boleh dinasab atau dibinkan kepada nama bapa.
Akan tetapi, situasi ini berlainan sekiranya zuriat yang dilahirkan itu adalah hasil dari perkahwinan atau hubungan sumbang mahram yang langsung tidak disengajakan.
“Sumbang mahram sendiri merupakan jenayah yang berat. Janganlah pula ditambah dengan jenayah lain yang lebih berat dan besar dosanya dengan membunuh nyawa tidak bersalah di dalam kandungan.
“Namun untuk kes terkahwin mahram secara tak sengaja, tidaklah dianggap sebagai anak tak sah taraf kalau ada zuriat yang lahir. Tetapi anak itu berada dalam kategori hasil persetubuhan yang diragui atau persetubuhan shubhah.
“Hal ini tidak sama dengan anak zina dan tak sah taraf. Sebab anak itu masih boleh dibin dan dibintikan kepada bapanya. Cuma ibu bapa perlu berpisah dan dibuburkan perkahwinannya kerana hukum asal pernikahan mereka itu tidak sah.” Jelasnya.