China merupakan negara pengeluar kenderaan terbesar di dunia. Dengan jumlah rakyat yang melebihi 1 bilion, menjadikan mereka antara pemilik pengangkutan peribadi terbesar juga.
Berikutan pertambahan kenderaan di negara tembok besar itu, China pernah mengalami jalan paling sesak, sehingga rakyatnya dilapor terkandas selama 12 hari di atas jalan raya sejauh 100 kilometer.
Kejadian itu berlaku di Beijing sekitar 14 tahun dulu iaitu pada 14 Ogos 2010.
Kesesakan di kota itu dianggap paling teruk di dunia kerana melibatkan ribuan kenderaan yang tersadai.
Kesesakan itu dikatakan berlarutan selama 12 hari. Setiap hari, kereta dapat bergerak tidak sampai 1 kilometer.
Ada juga pemandu terus terperangkap dan tidak dapat bergerak langsung untuk tempoh lima ke enam hari berturut-turut.
Ketika kejadian itu berlaku, kerja-kerja penyelenggaraan sedang dilaksanakan di lebuh raya yang menghubungkan Beijing dan Tibet.
Manakala kehadiran kenderaan logistik seperti lori, treler dan sebagainya pada hari tersebut juga turut memakan laluan lebuh raya sehingga 50 peratus.
Salah satunya adalah peningkatan ketara trak pengangkut arang batu dari Mongolia ke Beijing yang melalui jalan tersebut.
Bermula pada tahun 2009, 602 juta tan arang batu diangkut dan meningkat kepada 730 juta tan pada 2010.
Dua perkara tersebut dianggap sebagai punca kepada berlakunya kesesakan jalan raya paling teruk di negara itu.
Selain itu, beberapa kemalangan jalan raya juga dilaporkan berlaku dalam tempoh berkenaan, menyebabkan kesesakan bertambah teruk.
Ekoran itu, pihak berkuasa di China kemudian mengarahkan syarikat arang batu menangguhkan operasi mereka pada waktu pagi.
Manakala kenderaan logistik hanya dibenarkan memasuki Beijing pada waktu malam atau selepas trafik berkurangan.
Menjelang akhir Ogos 2010, kesesakan lalu lintas berjaya diatasi sepenuhnya oleh pihak berkuasa.
Dalam pada itu, situasi kesesakan melampau tersebut turut membuka peluang perniagaan kepada penduduk setempat.
Ada yang mengambil kesempatan dengan menjual makanan dan minuman pada harga berlipat kali ganda.
Situasi itu menyebabkan ada pemandu yang sanggup berlapar daripada membayar harga makanan yang sangat mahal.