Seorang pemuda berjaya mengundang perbincangan hangat di media sosial selepas membuat pendedahan mengenai asal usul Chicken Chop.
Menerusi satu hantaran di akaun TikTok miliknya, ‘mat salleh’ yang dikenali sebagai Greg itu menegaskan bahawa hidangan tersebut bukanlah berasal daripada Barat.
Sebaliknya, Chicken Chop diciptakan di Malaysia malah hidangan tersebut juga tidak akan dijumpai sekiranya berkunjung di mana-mana restoran terletak di negara Barat.
Greg menegaskan bahawa hidangan tersebut sememangnya diciptakan di Malaysia kerana ia tidak dilengkapi dengan sos khas yang biasanya dihidangkan di negaranya.
“Saya menyedari tidak ramai rakyat Malaysia tahu bahawa Chicken Chop bukanlah hidangan Barat. Ia diciptakan di Malaysia. Saya tidak menyalahkan rakyat Malaysia kerana menganggap ia adalah hidangan Barat.
“Betul, Chicken Chop kelihatan seperti hidangan Barat. Namun makanan berkenaan tidak akan anda dapati di benua ini (Barat). Namun ia berada dalam menu Barat jika anda mengunjungi restoran di Malaysia,” katanya.
Dalam perkongsian sama, Greg turut mendakwa Chicken Chop mulanya dicipta oleh tukang masak daripada China yang bekerja di kediaman warga British di Malaysia.
“Pada abad ke-19, orang China berhijrah ke Malaysia terutama daripada kalangan masyarakat Hainan. Ramai daripada mereka bekerja sebagai tukang masak di rumah warga British.
“Mereka kemudian mencipta makanan yang sesuai dengan citarasa majikan Barat di ketika itu. Jadi, tukang masak ini merupakan orang pertama mencipta hidangan Barat untuk orang British yang tinggal di Malaysia.” Jelasnya.
Tular di media sosial, rata-rata pengguna mengucapkan terima kasih kepada Greg kerana berkongsi pengetahuan baharu walaupun mereka adalah rakyat tempatan.
Ada juga individu dipercayai berasal daripada Barat turut mengakui bahawa dirinya tidak pernah mendengar makanan yang bernama Chicken Chop dihidangkan di negaranya.
Baca juga: Sejarah jalan sesak paling azab di dunia, ribuan kenderaan terkandas 12 hari