“Aku beraya dengan ‘title’ janda berhias, dicerai tanpa iddah sebab suami sebenarnya..”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita langsung tidak menduga rumah tangga yang dibina bersama suami bakal hancur berkecai hanya dalam tempoh setahun tiga bulan.

Memegang gelaran ‘janda berhias’ sewaktu menyambut perayaan Aidilfitri, wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai Siti itu mengakui langsung tidak disentuh suami sepanjang tempoh perkahwinan.

Nekad membawa haluan masing-masing, berikut adalah perkongsian Siti yang masih menanggung derita seorang diri meskipun telah bercerai dengan lelaki bernafsu songsang.

“Perkahwinan aku hanya bertahan selama setahun tiga bulan sahaja. Sebab apa ya? Sebab kantoi suami aku gay (homoseksual). Eh, silap. Bekas suami. Bulan Syawal ini adalah bulan kelima tempoh perceraian kami. Perpisahan itu mulanya tidak diketahui oleh ahli keluarga mentua. Hanya keluarga aku sahaja yang tahu.

“Aku nekad bercerai pon, sebab sokongan daripada keluarga. Sehingga hari ini, tiada satu orang pun ahli keluarga bekas suami bertanyakan khabar aku. Bulan puasa hari itu, dia mesej untuk ucapkan selamat berpuasa. Aku terus tanya sama ada keluarga dia tahu hal perceraian ini. Katanya, ada yang tahu. Yang tak tahu pun ada.

“Aku masih tertanya alasan apa yang bekas suami beritahu kepada keluarga mentua mengenai punca perceraian kami. Tetapi aku yakin, mesti dia burukkan aku. Selepas bercerai, aku tak pernah menghubungi keluarga mertua. Mereka juga langsung tidak menghubungi aku. Jadi, aku beranggapan diri ini diburukkan di pihak belah sana.

“Kenapa? Sebabnya bekas suami memang kesayangan dalam keluarga dia. Macam manalah orang-orang macam dia boleh berjaya dan bahagia. Sedangkan, dia sudah menyeksa hidup aku. Sungguh, aku trauma dengan lelaki. Tengok sahaja lelaki yang jenis kemas, kacak dan maskulin mesti automatik aku fikir dia gay.

“Aku bercerai dengan gelaran ‘janda berhias’ (belum disetubuhi suami) di mana tiada iddah dalam perceraian kami. Bekas suami memang tidak bernafsu langsung dengan isteri sendiri. Dia seksa jiwa aku macam itu sahaja. Sedangkan dia mempunyai ilmu agama yang tinggi. Solat tak tinggal dan mengaji juga sedap. 

“Tetapi itulah, bekas suami lebih memilih ke arah songsang. Aku marah sungguhlah dengan dia. Aku reda, tetapi tak mampu nak lupakan segala apa yang dilalui dengan dia, Kenapa bekas suami berkahwin jika nafsunya bukan dengan perempuan. Kenapa dia nak siksa hidup anak orang macam ini?

“Sungguh aku sakit. Aku tahu, Allah sudah aturkan semua ini terjadi. Tetapi aku sakit sangat. Semoga apa yang aku lalui ini, hanya Allah mampu membalas. Minta tolong doakan yang terbaik untuk aku. Terima kasih.” Kongsi Siti (Bukan nama sebenar) di dalam satu hantaran di sebuah forum atas talian.

Baca juga: “Bila aku tahu dia suami orang, aku terus bagitahu isteri dia pasal kami, rupanya aku bukan kes pertama”