Bukan hanya seorang tetapi sudah banyak pelakon otai mengadu tidak mendapat bayaran setimpal dengan pengalaman dan nama yang ditempa dalam industri.
Ia termasuklah pelawak lagenda, Azlee Senario yang baru-baru ini meluahkan rasa terkilan apabila ada pihak produksi menawarkan bayaran RM500 sehari untuk berlakon.
Perkara tersebut turut menarik perhatian pelakon jelita, Tiz Zaqyah yang ternyata rasa kurang senang terhadap tindakan pihak produksi yang disebutkan pelawak berkenaan.
Menerusi ciapan di platform X, Tiz Zaqyah berkata Azlee bukan pelajar latihan industri atau ‘intern’ untuk ditawarkan dengan jumlah sedemikian.
“Kau ingat abang Azlee intern?,” katanya.
Ciapan berkenaan kemudian mendapat pelbagai reaksi wargamaya yang rata-ratanya menyokong pandangan aktres tersebut.
Kata wargamaya, Azlee sewajarnya diberikan bayaran yang lebih tinggi dan setimpal kerana dia merupakan seorang pelawak dan pelakon senior yang sudah banyak menghiburkan penonton.
Mereka juga menganggap pihak produksi ketika ini tidak menghargai bakat seorang pelakon senior yang berpuluh tahun cuba menempa nama sendiri di dalam industri.