Satu video tular di media sosial mamaparkan seorang lelaki yang memaki hamun seorang pekerja tol gara-gara baki kad pada Touch n’ Go miliknya kurang.
Video tersebut mengundang kecaman ramai setelah ia dimuat naik oleh lelaki yang dikatakan abang kepada pekerja tol tersebut.
Difahamkan kejadian berlaku di plaza tol Lebuh Raya Duta–Ulu Klang (Duke) Segambut.
Menurut kisah yang diceritakan, ketika kejadian lelaki yang memandu kereta jenis Honda Civic berkenaan tidak dapat melepasi tol kerana baki kad Touch n’ Go miliknya kurang.
Kemudian, lelaki yang didakwa berusia anggaran 60-an itu memberikan wang tunai sebelum ditolak oleh pekerja tol kerana pembayaran hanya diterima melalui kad debit atau Touch n’ Go sahaja.
“Kemudian adik saya (pekerja tol) tanya dia (pemandu Honda Civic) ada kad bank tak, dan dia kata ada. Adik saya minta dia untuk undur dan masuk lorong tiga.
“Pemandu berkenaan undur. Dan berhenti lama bagi ‘double signal’. Tak lama lepas tu dia masuk balik lorong satu dan mula maki hamun adik saya dengan persoalkan buat kerja apa je, tuduh makan gaji butalah. Siap panggil dia kurang bijaklah.
“Siap kata nak lempang adik saya sebab katanya hari-hari dia kerja lempang orang. Bila adik keluar telefon nak rakam dia maki hamun barulah dia nak perlahankan suara,” ceritanya seperti dilapor Kosmo! semalam.
Sehingga kini ciapannya mendapat lebih 2,200 ulang ciap dan 3,400 tanda suka.
Meninjau ke ruangan komen, ramai yang mengecam tindakan lelaki tersebut sekali gus menasihati pekerja tol itu untuk terus bersabar dalam berdepan pelbagai ragam pengguna jalan raya.
Ada juga bertanya apa pekerjaan lelaki tersebut sehingga berani mengugut mahu menampar pekerja tol itu.
“Aku kerja tol selalu dah kena begini. Tak semua pengguna jalan raya bijak. Ramai spesies macam ni, selalu rasa diri mereka terpaling bagus,” komen Shida.
“Beritahu adik awak yang dia kuat. Selagi mencari rezeki yang halal, tiada pekerjaan dalam dunia yang hina untuk dia. Banyakkan bersabar dik,” komen Hairil pula.
Baca juga: “Aku beraya dengan ‘title’ janda berhias, dicerai tanpa iddah sebab suami sebenarnya..”