Tular video seorang wanita menyimbah air panas ke arah pemuda orang kelainan upaya (OKU) Sindrom Down, Jumaat lalu dalam lif sebuah pangsapuri di Pulau Pinang.
Disebabkan itu mangsa dirawat di hospital dengan kesan melecur di bahagian belakang badan, bahu serta leher.
Mahkamah Sesyen Balik Pulau harini menjatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun dan denda RM6,000 terhadap Oo Saw Kee.
Menurut Kosmo! Online, Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin menjatuhkan hukuman itu kepada tertuduh yang berusia 39 tahun selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.
Ketika prosiding, Ahzal Fariz berkata, setelah meneliti fakta kes, mahkamah mendapati perbuatan tertuduh adalah satu kesalahan kejam dan tidak berperkemanusiaan.
“Mahkamah berkongsi sentimen dengan masyarakat bahawa ia satu perbuatan kejam, tambahan pula tidak ada provokasi daripada mangsa. Mahkamah mengambil kira kepentingan awam melebihi tertuduh.
“Tujuan hukuman ini bukan sahaja untuk memberi peringatan kepada tertuduh tetapi juga kepada masyarakat agar tidak mengulangi perbuatan ini kepada mana-mana OKU.
“Oleh itu mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM6,000 terhadap tertuduh, jika gagal membayar denda tertuduh dikenakan hukuman penjara 12 bulan,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.
Tertuduh juga dikatakan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas A.Solairaj dengan menyimbah air panas ke arahnya kira-kira pukul 9.24 pagi, pada 19 April lalu.
Tertuduh yang bekerja sebagai pembantu jualan itu didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan.
Baca juga: “Kau ingat abang Azlee Intern?”, Tiz Zaqyah pula sekolahkan produksi bayar RM500 kepada pelakon otai