Baru tahu beras boleh jadi baja, jangan ‘bakar’ jika tamat tarikh luput – “Dijamin subur!”

Oleh WAN SITI AMINAH

Akaun Facebook milik Public Health Malaysia (PHM) telah berjaya mencuri perhatian ramai selepas berkongsi beberapa fakta mengenai beras, baru-baru ini.

Difahamkan, perkongsian tersebut dimuat naik PHM susulan tularnya isu berhubung pembuangan dan pembakaran bekalan makanan itu di pelbagai laman media sosial.

Menerusi hantaran tersebut, PHM berkongsi kaedah bagi mengenal pasti beras yang rosak serta kegunaan lain sekiranya bekalan makanan tersebut sudah tamat tempoh.

Jelasnya, beras putih kering boleh bertahan selama dua tahun jika disimpan di suhu bilik manakala jenis perang pula hanya boleh dimakan dalam tempoh enam bulan.

PHM dalam hantaran tersebut turut memaklumkan, kerosakan bekalan makanan ini boleh dikesan melalui perubahan bau, rasa dan tekstur selain pertumbuhan kulat serta pepijat.

“(Sekiranya kerosakan dapat dikesan), elakkan memasak dan makan beras tersebut. Manakala untuk menghindar pembaziran, beras rosak boleh diguna untuk tujuan lain,” katanya.

Berikut adalah kegunaan lain beras yang telah rosak mahupun tamat tarikh tempoh berdasarkan gambar atau ‘peta minda’ dikongsikan PHM di dalam hantaran sama.

  1.   Bahan kompos untuk baja tumbuhan ditanam.
  2.   Makanan kepada haiwan ternakan.
  3.   Kegunaan kebun dan pertanian.
  4.   Bahan kraf dan hasilkan bahan seni.

Diharapkan perkongsian ini dapat memberikan pengetahuan tambahan kepada para pembaca mengenai kegunaan lain bekalan makanan yang telah temat tempoh itu.

Ingat, harga bekalan makanan itu semakin tinggi selari dengan perkembangan ekonomi global. Oleh demikian, elakkan dari melakukan pembaziran dengan membuang atau membakar beras.

Baca juga: “Bangla duduk setahun pun boleh fasih” – Netizen perli lelaki mengadu ibu tak boleh berbahasa Melayu