Seorang anak merasa sangat lega apabila insan dipanggilnya mak akhirnya berpisah dengan suami selepas sekian lama menanggung derita semenjak bergelar isteri.
Nekad membawa ibu berpindah keluar daripada rumah bapanya sendiri, sang anak merasa sangat bersyukur dan berlapang dada saat menerima khabar perpisahan itu.
Kini berbahagia bersama adik-beradik dan bonda tercinta, berikut perkongsian sang anak yang mahu memberi kesedaran kepada ibu bapa lain mengenai penceraian.
“Aku nak berkongsi sudut pandang sebagai anak daripada pasangan yang berpisah serta kesannya terhadap diri dan adik-beradik. Aku datang daripada keluarga yang berpecah belah. Mak dan ayah berpisah semasa aku di sekolah menengah. Masa itu, adik lain juga masih bersekolah. Aku juga ada adik bongsu berusia tiga tahun.
“Waktu kejadian berlaku, hanya abang aku seorang yang sudah bekerja. Tetapi dia bekerja di kilang biasa sahaja. Sejujurnya sebagai seorang anak, aku rasa lega dan bersyukur dengan perpisahan (cerai) tersebut. Semasa kami dihalau dari rumah oleh ayah sendiri, aku langsung tiada rasa takut atau sedih.
“Sebaliknya, terasa seperti satu bebanan besar atas bahu aku terus menjadi ringan. Sangat berlapang dada kerana tak perlu menghadap ayah aku lagi. Dia adalah bapa yang panas baran dan garang dengan anak-anak. Kesalahan kecil akan dibesarkan. Tentunya ayah akan mengakhiri itu semua dengan amukan dan pukulan.
“Ayah kalau datang baran, dia akan mengamuk dan semua barang dalam rumah ini akan dilempar dan dirosakkan. Barang yang mahal pula itu. Macam televisyen, kipas, ketuhar dan lain-lain. Sampaikan, kipas angin kami ada kesan tetaklah. Sebab ayah pernah mengamuk sambil pegang parang dan tetak kipas itu.
“Pada ayah, mengamuk itu seperti satu bentuk kepuasan selain mahu menunjukkan yang dia berkuasa. Bahkan satu kampung sudah masak dengan perangainya yang suka mengamuk. Kami anak-anak selalu menjadi mangsa pukulan ayah. Biasalah, budak kecil kadang-kadang nakal. Kemudian keluar bermain sampai petang.
“Kami adik-beradik juga pernah bergurau kasar sesama kami sehinggalah ada yang menangis. Tetapi apabila ayah nampak semua ini, habislah kami semua akan dipukul atau dihalau keluar rumah. Oleh itu, kami anak-anak selalu akan duduk diam sahaja di dalam bilik kalau ayah ada di rumah.
“Apabila ayah keluar bekerja atau ke mana-mana, barulah rumah akan riuh kembali dengan suara kami. Ayah tak pernahlah pukul mak. Cuma sering diherdik dan dimaki dengan perkataan yang memang tak enak didengar. Bab nafkah itu, tak usahlah nak cerita. Cukup pembaca tahu, dia culas bab nafkah.
“Mak akulah yang bersusah payah kerja untuk keperluan kami. Selepas abang mula bekerja, boleh kata banyak perbelanjaan kami di rumah ditanggung oleh abang aku. Namun, ada kejadian yang menjadi perpisahan berlaku. Ayah menjadi semakin kerap mengamuk. Kali ini, ayah sudah pandai pukul mak.
“Beberapa kali juga mak dipukul di depan adik aku yang bongsu. Sampailah satu hari mereka bergaduh besar sebab akhirnya, mak melawan cakap ayah. Kalaulah sudah kerap sangat dipukul dan diterajang, mestilah akan melawan. Adik bongsu aku saksi kejadian itu hingga membuatkan dia betul-betul bencikan ayah.
“Kasihan dengan adik kerana dia harus menghadap semua ini ketika umurnya yang masih muda. Selepas pergaduhan itu, ayah telah menghalau mak keluar dari rumah tersebut. Dia siap cakap yang anak-anak boleh pilih nak keluar ikut mak atau tinggal di rumah bersama ayah. Tanpa fikir panjang, kami semua nak ikut mak.
“Ketika itu, kami terus kemas semua baju dan keluar dari rumah itu tanpa ada apa-apa perancangan. Namun kami tetap bernekad mahu keluar. Aku pujuk mak untuk keluar dahulu dan fikirkan perkara lain kemudian. Nasib kami baiklah sebab nenek sebelah mak tinggal berdekatan. Jadi kami boleh tumpang rumah nenek dahulu.
“Kami hanya harapkan abang sebab mak tiada pendapatan tetap dan aku serta adik yang lain juga masih bersekolah. Selepas sebulan menumpang di rumah nenek, kami dapat menyewa satu rumah kecil yang memiliki satu bilik. Tetapi Alhamdulillah semua tak mengeluh bahkan gembira.
“Sekurang-kurangnya, kami tak perlu lagi hidup dalam ketakutan setiap hari kerana menghadap amukan ayah. Kami cuba sedaya upaya untuk berikan sokongan penuh kepada mak. Mak mula meniaga membuat kuih dan hantar ke kedai. Aku juga sudah mula bekerja separuh masa. Jadi ada duit untuk beli barang keperluan rumah.
“Kami mulakan hidup dari bawah sedikit demi sedikit. Terasa seperti melalui proses yang baharu, semula. Tetapi kami lebih gembira sekarang. Sepanjang dalam proses penceraian, ayah memang ada mengganggu kami sehingga berlakulah pergaduhan beberapa kali. Tetapi kami memutuskan untuk buat tak endah sahaja.
“Kami adik-beradik hanya fokuskan untuk bantu dan gembirakan mak balik. Selepas perpisahan itu hinggalah sekarang, kami sangat gembira. Alhamdulillah, kami dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik. Adik-adik juga sudah bekerja kecuali yang bongsu masih bersekolah. Sekarang kami memang menjaga mak sebaik mungkin.
“Kami luangkan masa bawa mak berjalan-jalan dan belikan barang yang diinginkan. Sebenarnya, kisah ini panjang. Tetapi apa yang aku nak sampaikan, tidak mengapa untuk ibu bapa berpisah. Banyak pasangan terutama mereka bergelar ibu akan takut untuk berpisah dan sering menggunakan anak sebagai alasan.
“Namun tahukan ibu, kadang-kadang anak juga mahukan perpisahan. Mereka juga tak perlu hidup di dalam keluarga yang bermasalah. Tahu tak kalau ibu tak bahagia, anak-anak juga tak boleh bergembira. Sebagus mana pun ibu sorokkan perasaan itu, anak-anak tetap akan perasan.
“Tambahan pula jika anak-anak menjadi saksi melihat ibu yang tidak bahagia, sering sedih dan menangis. Hancur luluh hati kami melihat ibu tersayang dimaki dan dihina. Kami anak-anak juga ingin ibu gembira dan boleh melakukan apa yang mereka mahu tanpa sebarang bentuk kekangan dari sesiapa pun.
“Kadangkala anak-anak tidak pandai berkomunikasi, terutamanya anak yang masih kecil. Namun percayalah, lambat laun anak-anak tetap akan faham kenapa ibu ambil keputusan sebegitu. Perceraian bukan bermaksud memisahkan anak dengan ayah. Jika ayah sudi melawat dan menjaga, perkara itu baik untuk perkembangan anak.
“Namun jika tidak, kasih sayang dan sokongan daripada sang ibu sahaja juga sudah cukup untuk anak membesar dengan baik. Kepada yang bersikap agak konservatif, saya minta maaf jika anda merasa perkongsian ini menggalakkan perceraian. Cuma ini cebisan rasa saya sebagai anak yang pernah melalui perpisahan.
“Saya pasti, anak-anak lain yang sedang melalui fasa sama juga inginkan pendapat kami. Percayalah, salah satu punca anak-anak sekarang mengalami tekanan adalah daripada masalah rumah tangga ibu bapa mereka. Kepada semua ibu yang masih berbelah bahagi, percayalah kami anak-anak akan sentiasa menyokong ibu.
“Kami akan juga memahami semua keputusan yang ibu buat. Semestinya, kebaikan untuk kami anak-anak tetap ibu utamakan. Semoga ibu-ibu kuat untuk menghadapi ujian ini. Sekian.” Kongsi Me (Bukan nama sebenar) menerusi satu perkongsian yang dimuat naik di forum luahan atas talian.