Banyak kes di mana pasangan bergaduh disebabkan tinggal serumah dengan mentua, bukan tak suka tapi kebanyakan pasti tak selesa apatah lagi melibatkan aurat.
Jadi tiada masalah jika menyewa di rumah lain jika tidak mampu membeli sekurang isteri dan anak-anak selesa.
Seorang wanita meluahkan rasa resah selepas tinggal bersama mentua, pada awalnya baik hinggalah adik ipar lelakinya mula pindah semula.
Di bawah adalah luahan tersebut.
Nama saya Lily (bukan nama sebenar) ibu muda kepada seorang anak perempuan yang comel, Dahlia.
Saya anak tunggal perempuan, ibu saya telah lama pergi menghadap illahi. Tinggal lah saya bersama abah.
Ditakdirkan jodoh saya telah sampai, saya berkahwin dengan suami yang juga anak yatim (kematian bapa).
Setelah berkahwin, saya tinggal dengan suami bersama mentua. Tinggal lah abah saya seorang diri di rumah kerana tugas isteri wajib patuh kepada suami.
Ya, saya akui. Manakala abah saya pula langsung tidak menghalang kerana faham bahawa tempat seorang isteri itu di sisi suami.
Adakalanya saya pulang ke rumah abah untuk menjenguknya namun masa saya banyak di rumah mentua berbanding rumah abah.
Hari demi hari, bulan berganti bulan dah setahun lebih saya di rumah mentua.
Mentua mula masuk campur
Teringin rasanya nak tinggal dirumah sendiri (rumah sewa pun tak mengapa). Perasaan ini muncul apabila saya mula rasa bosan dengan mentua yang ikut campur hal saya.
Cara dia seolah menuntut saya untuk harus sesuai keinginannya.
Saya tidak mahu bercerita secara detail mengenainya kerana saya sedar bahawa ada juga sisi baik tentang dirinya.
Di mana dia juga tempat saya menumpang kasih sayang setelah kematian ibu yang hampir 10 tahun.
Cuma kadang saya rasa terbeban dengan cara dia. Boleh dikatakan apa yang saya lakukan tak kena di mata dia, serba serbi tak kena di mata mentua.
Baru baru ini, adik-beradik suami balik tinggal di rumah mentua kerana berlaku krisis rumah tangga dengan isterinya. Sedar tak sedar dah lebih lima bulan dia disini.
Saya tak kisah dia tinggal di sini kerana ini rumah mak dia juga, dia ada hak cuma saya rasa agak tidak selesa kerana terpaksa menjaga aurat di dalam rumah.
Setiap kali keluar bilik harus bertudung dan saya tak ada lah baik sangat tapi saya tahu hukum halal haram dan dimana aurat perlu dijaga.
Hal ini membuatkan saya rimas memandangkan musim sekarang suhunya terlalu panas, saya jadi banyak mengeluh, tidak lagi boleh bersabar seperti dulu.
Masa saya banyak dihabiskan di dalam bilik, dimana tempat saya bebas melakukan apa sahaja.
Setelah ada anak ni saya jadi kerap resah, terasa dunia ni terlalu sempit untuk saya selama berpantang hanya terkurung di dalam bilik sahaja.
Bukan saya tak pernah keluar duduk di luar namun saya lebih selesa berada dalam bilik dan tidak perlu memakai tudung.
Saya pernah suarakan kepada suami untuk tinggal berasingan sebelum kelahiran anak kami, namun tidak diambil peduli oleh suami.
Hanya sekadar berjanji, hari berlalu pergi sehinggalah lahir anak sulung kami, dunia saya dan anak kecil ini hanya didalam bilik.
Bilik kami ibarat rumah kecil dan disitulah saya melewati hari berpantang bersama Dahlia.
Saya berpantang di rumah mentua kerana abah saya tidak pandai menguruskan hal hal berpantang ini.
Mula bergaduh dengan suami
Tiap kali saya bergaduh dengan suami tidak lain dan tidak bukan mesti soal rumah sewa.
Saya tidak tahu macam mana lagi nak bagitahu dia supaya dia faham keadaan saya, keselesaan saya dan anak.
Adakah permintaan saya ini pentingkan diri? Meminta untuk keluar dari rumah mentua demi keselesaan saya.
Sering kali saya berfikiran begini tetapi saya tidak lagi mampu menanggung perasaan ini. Saya perlukan privasi, saya perlukan ruang dan kebebasan.
Keadaan ini membuatkan saya rasa terbeban dan kami kerap bergaduh mengenai isu ini sehinggakan saya tidak lagi rasa seronok tinggal disini.
Suami saya pula jenis yang kurang common sense (adakalanya). Saya terpaksa jelaskan semua untuk dia faham tapi macam tu jugak. Masuk telinga kanan keluar telinga kiri.
Dia suami yang baik, dari segi nafkah tak pernah lupa, sentiasa juga bantu saya menguruskan hal rumah tangga.
Baru ini saya mengeluh kepada suami mengenai mentua saya, ketika ini saya sangat tertekan kerana mentua asyik mengkritik cara saya dan terlalu berjimat.
Gaduh depan mentua
Maka, terjadilah perang dunia buat pertama kalinya dengan suami di rumah mentua. Sebelum ini jika kami bertengkar, hanya di dalam bilik atau dalam kereta sahaja.
Tetapi hari itu, suami heret masalah keluar dari bilik, sebelum ini saya pernah berpesan pada suami jika kita berselisih faham atau bergaduh hanya dalam bilik sahaja.
Jangan dibawa keluar demi menjaga aib masing masing. Namun tidak ya pada hari itu, dia melaung melepaskan amarahnya pada saya.
Saya apa lagi, segala perasaan yang dipendam selama ini habis terkeluar di hadapan mentua dan kakak ipar saya (sil balik beraya).
Segala yang terbuku di hati, soal rumah sewa, soal aurat batasan serta kebebasan habis terkeluar dari mulut saya.
Cuma soal tidak puas hati terhadap mentua saya masih pendam kerana tidak tergamak saya luahkan biarlah saya pendam sendiri daripada hubungan saya dengan mentua merosot.
Saat saya benar benar di bawah, saya hanya perlukan dakapan dari seorang suami. Namun tidak diendahkannya.
Sedih bila mengenangkannya. Hari itu, saya mengamuk semahunya dan menyuruh suami hantar saya pulang ke rumah abah, saya perlukan ruang dan ketenangan untuk diri saya.
Semasa perjalanan pulang ke rumah abah, suasana sepi sehinggalah keesokan harinya saya bersuara dan mengajak suami untuk mencari rumah sewa.
Pada awalnya dia menolak, tak nak cari dan sekali lagi saya berkeras baru dia setuju nak cari rumah sewa setelah saya mengatakan bahawa saya yang akan tanggung sewa bulanan.
Seharian kami mencari rumah sewa sesuai dengan bajet saya, akhirnya terjumpa satu rumah kampung tak jauh dari rumah mentua (lebih kurang 10 minit sahaja).
Setelah kami kunjungi rumah tersebut, minta pendapat abah saya maka kami bersetuju untuk menyewa rumah tersebut.
Abah saya tahu segala masalah saya dan menyokong tindakan saya untuk menyewa di luar. Mesti kalian tertanya kenapa tak tinggal di rumah abah?
Kerana jarak rumah abah jauh dari tempat kerja kami, oleh itu kami memilih untuk menyewa berdekatan rumah mentua.
Masalah sekarang, saya pula rasa serba salah dengan keputusan ini.
Saya tak sampai hati nak bagitahu mentua. Tapi bila difikirkan balik, lebih baik tinggal sendiri dan menjaga jarak agar fikiran dan hati tenang.
Sumpah tak ada langsung niat nak putuskan silaturrahim ke apa. Saya tidak sekejam itu.
Saya tidak halang jika suami ingin pulang ke rumahnya untuk menjenguk mentua memandangkan rumah kami dekat sahaja.
Dan saya bersetuju untuk bermalam di rumah mentua dua kali seminggu bila bila masa atas kehendak suami.
Baca juga: “Ramai takut bercerai atas alasan anak, tapi aku bersyukur mak dan ayah berpisah”