Pasti digeledah lepas anak Menteri Besar disyaki terlibat dalam kes tuntutan palsu RM600,000

Oleh WAN SITI AMINAH

Arena politik baru-baru ini dikejutkan dengan penahanan anak kepada Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli kerana disyaki terbabit dalam kes tuntutan palsu berjumlah RM600,000.

Selain anaknya, pegawai kanan di pejabat Menteri Besar itu turut tersenarai sebagai antara enam individu direman oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan.

Berhubung dengan penangkapan tersebut, Shukri yang juga Pesuruhjaya Pas Perlis itu menyatakan kesediaan untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM berhubung siasatan kes tersebut.

Sempat mengingatkan bahawa tiada orang kebal terhadap undang-undang, Shukri mengakui wujudnya kelemahan di dalam pentadbiran negeri dengan mengatakan dirinya mudah memberi kepercayaan, lapor Malaysia Kini.

“Memang, kelemahan saya dalam pentadbiran terlalu baik dan percaya semua orang saya beri kebebasan. Tetapi harus diingat, tidak siapa yang kebal undang-undang termasuklah saya.

“Malah salah seorang yang disiasat itu adalah anak saya dan pada pagi (SPRM) datang, mereka geledah rumah saya (di Sungai Padang) kemudian Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) tempat saya asuh anak-anak. Kemudian, anak saya dibawa pergi untuk direman.

“Sekali lagi ditegaskan bahawa pejabat saya buka 25 jam (setiap masa) sehari untuk pemeriksaan SPRM kerana tidak mahu berlaku sebarang penyelewengan dan biarlah ia dalam keadaan bersih dari unsur tidak baik,” katanya memetik Malaysia Kini.

Perkara tersebut disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang itu dalam ucapan penggulungan di Mesyuarat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ke 15, semalam.

Tambah Mohd Shukri, pihak berkuasa juga berhak menjatuhkan hukuman sekiranya hasil siasatan mendapati anaknya bersalah berikutan tiada siapa di negara ini yang kebal daripada undang-undang.

“Ini adalah ujian yang sedang saya hadapi. Jika anak saya (terbukti) bersalah, maka hukumlah dia kerana saya sudah memberikan pendidikan dan ilmu. Ia termasuk juga pegawai saya.

“(Hal ini kerana) saya sudah selalu berpesan mengenai perkara ini dan jika terbabit juga, saya sudah habis ikhtiar.” Ujarnya mengulas penangkapan anak dan pegawai yang bertugas di pejabatnya oleh SPRM pada pagi Rabu.

Menurut sumber, siasatan dilakukan oleh pihak SPRM adalah berhubung kesalahan berkaitan pemalsuan dokumen dalam membuat tuntutan palsu sedangkan kerja-kerja berkenaan tidak dilaksanakan.

Keseluruhan projek berkaitan tuntutan berkenaan difahamkan melibatkan kerja-kerja baik pulih, penyelenggaraan, pembekalan dan perkhidmatan bermula dari 2022 sehingga kini dianggarkan bernilai RM600,000.

Baca juga: Bukan setakat tak ada lesen, Aliff Aziz juga tak tahu macam nak bayar duit kereta