Tiga pelajar dari sebuah pusat tahfiz di Machang, Kelantan tampil membuat laporan polis selepas mendakwa menjadi mangsa liwat guru mereka sejak dua tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Ahmad Shafiki Hussin memaklumkan, pihaknya menerima laporan tersebut pada pukul 12.56 tengah malam, 15 April lalu.
Menurut Ahmad Shafiki, laporan berkenaan dilakukan oleh ketiga-tiga mangsa yang juga merupakan pelajar lelaki berusia 12 sehingga 13 tahun di Balai Polis Machang.
Hasil siasatan kemudian mendapati kesemua mangsa telah diminta untuk melakukan perbuatan tidak senonoh tersebut oleh suspek di pusat pengajian Islam berkenaan.
Susulan itu, suspek yang merupakan tenaga pengajar berusia 39 tahun itu segera ditahan pihak polis pada 16 April lalu untuk membantu siasatan, lapor Harian Metro.
“Suspek berusia 39 itu kemudiannya ditangkap untuk membantu siasatan. Suspek ditahan selama seminggu bermula 16 sehingga 22 April dan disambung reman pada 23 hingga 29 April ini
“Pihak polis menasihati orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan kes ini selesai,” kata Ahmad Shafiki memetik laporan Harian Metro.
Mengulas lanjut, Ahmad Shafiki menjelaskan bahawa kes tersebut disiasat pihak polis mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana disyaki meliwat.