Tendang, lempang dan cakar, itulah perbuatan didakwa dilakukan oleh seorang bekas personaliti TV3 yang berdepan lima pertuduhan di empat Mahkamah Majistret.
Personaliti terbabit iaitu Norjuma Habib Mohamed berdepan dengan tiga pertuduhan menyebabkan kecederaan atas tiga individu dan dua pertuduhan melakukan khianat.
Norjuma yang pernah menjadi salah seorang usahawan tudung terkenal suatu ketika dahulu itu didakwa telah melakukan perbuatan tersebut di antara 2017 hingga 2023.
Wanita berusia 44 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kelima-lima pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan, lapor Harian Metro.
Difahamkan, lima pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Majistret Fatin Dayana Jalil, Illi Marisqa Khalizan, Noorelynna Hanim Abd Halim dan juga Amira Abd Aziz.
“Tidak (mengaku bersalah),” jawab Norjuma dengan ringkas selepas pertuduhan itu dibacakan kepadanya di hadapan empat Majistret terbabit lapor Harian Metro.
Mengikut tiga pertuduhan yang mendatangkan kecederaan, Norjuma didakwa telah mencederakan seorang pengawal keselamatan dikenali sebagai Neupane Tika Ram.
Lelaki warganegara Nepal itu telah ditendang oleh Norjuma di bahagian betis kiri di sebuah pusat tuisyen di Brickfields, Kuala Lumpur pada jam 3 petang, 29 Mac 2018.
Personaliti itu juga didakwa dengan sengaja mencederakan seorang lelaki, Mohd Afiq Ismail di sebuah premis perniagaan di Menara Atlan, Jalan Ampang, pada pukul 8.43 malam, 21 Februari 2017.
Kemudian pada 18 Oktober 2021, jam 10.30 pagi, Norjuma didakwa telah menampar pipi dan mencakar tangan Nur Solehah Rosli di sebuah kondominium di Wangsa Maju.
Bekas personaliti terbabit didakwa mengikut Sesyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-dua sekali bagi semua pertuduhan mendatangkan kecederaan.
Norjuma turut didakwa atas dua pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan palang keluar masuk dan kamera litar tertutup (CCTV) milik sebuah kondominium di lorong Ampang 2 Taman U-Thant pada jam 7.44 malam, 28 Julai 2023.
Pertuduhan yang dikemukakan kepadanya mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali.
Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Harvind Raja Gopal, Hamizah Hisan dan Vivian Yeap Jie Xi manakala Norjuma diwakili peguam Izzat Amir.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh pada 27 Jun ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.