“Beria aku buatkan resume untuk suami, bila dah senang dia curang siap ditangkap khalwat!”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita langsung tidak menduga bakal dikhianati oleh suami kesayangan selepas lelaki berkenaan memperoleh kejayaan di dalam kehidupan.

Rela bersusah payah membantu suami mencari pekerjaan, wanita bernama Mimi itu langsung tidak dihargai malah tergamak dicurangi sehinggakan ditangkap khalwat.

Hancur hatinya apabila dibuang bagai sampah, berikut perkongsian Mimi yang harus meneruskan perjuangan dalam membesarkan anak tanpa bantuan bekas suaminya.

“Aku diceraikan pada bulan Disember, tahun lalu secara luar mahkamah sebab suami curang selepas tujuh tahun perkahwinan kami. Kemudian, dia menikah dengan janda tak bermaruah pada bulan April tahun ini. Laju bukan? Aku baru sahaja habis iddah. Isteri dia kerja kerajaan, jawatan PPK (Pembantu Perawatan Kesihatan) di klinik.

“Sudah terang lagi bersuluh, bekas suami yang salah. Sebabnya, mereka ditangkap khalwat semasa aku tengah iddah. Dicekup dekat rumah sewa janda itu. Anak lelaki kepada janda itu pun kena angkut sekali. Budak itu berusia 16 tahun.  Penyondol itu ada empat orang anak, semuanya sudah besar.

“Rupa-rupanya, mereka mula bersekedudukan sejurus bekas suami menceraikan aku. Sakitnya dada aku ini. Selepas ditangkap, mereka cepat-cepat kahwin. Majlis hanya berlangsung di rumah pengantin perempuan. Keluarga belah lelaki tiada seorang pun yang tahu. Jahat betullah janda itu.

“Sudahlah berzina dengan suami aku ketika kami masih suami isteri. Selepas itu, dia meruntuhkan rumahtangga dengan mengadu domba dan menghasut supaya suami menceraikan aku. Padahal dulu, aku setuju sahaja nak berpoligami. Tetapi sebabkan perempuan itu menolak, semua aku setuju bercerai.

“Mereka berkahwin tanpa restu ibu dan bapa bekas suami. Sedangkan aku masa nak kahwin dahulu, sampai menggigil jumpa keluarga mentua meminta restu. Paling aku ralat, bekas suami dahulu dapat tawaran semasa aku dalam pantang untuk ditemu duga di sebuah syarikat terkemuka dekat Johor.

“Kemudian bekas suami terus diserap masuk sebaik sahaja aku habis masa pantang. Rezeki anak kan. Akulah yang gigih buatkan resume untuk dia dahulu. Dua kali aku hantar dengan harapan suami dapat kerja tetap. Sebab sebelum itu dia kerja kontrak dekat syarikat lain. Jadi kewangan tak terjamin.

“Berialah aku ini tolong hantarkan resume dekat pelbagai syarikat. Kami berdua pula pemegang ijazah sarjana muda. Jadi, suami meraih pangkat tinggi apabila diterima masuk dalam syarikat. Ketua jabatan, kira rezeki betullah kan. Bersyukur sangat aku semasa itu. Gembira kami dapat tingkatkan taraf hidup keluarga.

“Aku pun bekerjaya juga, cuma bertugas di syarikat perkilangan sahaja. Pegang jawatan eksekutif. Syarikat bekas suami pula memang terbaik. Bayangkanlah, kos perubatan mereka yang tanggung termasuklah untuk isteri dan anak sekali. Kalau pergi klinik tak perlu bayar, berikan nama di bawah insuran syarikat sahaja.

“Tetapi selepas sahaja bekas suami berkahwin dengan janda itu, dengan segera dia buang nama aku. Bekas suami gantikan dengan nama isteri baharu dia. Masalahnya, sekali dengan anak dia tak izinkan untuk guna. Padahal, nama anak aku masih ada. Aku rasa hampa, sedih sangat. Betullah, lelaki diuji apabila senang.

“Kehidupan bekas suami naik selepas aku dan anak muncul. Tetapi dia boleh buang kami macam sampah sahaja. Nafkah sekarang sudah culas. Masa aku iddah sahaja dapat. Perempuan itu datang ketika dia ada segalanya. Hampa. Itu sahaja aku boleh kata. Mana suami aku yang baik dan bertanggungjawab dahulu.

“Bekas suami pernah sayang aku dan anak kami. Tetapi sekarang dia block (sekat) nombor aku dan media sosial miliknya. Jahatnya mereka, ya Allah. Aku tak mampu nak berkata-kata lagi. Sedih tengok gambar perkahwinan mereka berdua. Menangis seharian sampai sakit mata and kepala aku.

“Aku hampa tetapi tetap teruskan sahaja hidup ini. Masih sibuk bekerja. Anak pula, aku seorang sahaja yang uruskan. Orang sekeliling asyik suruh cari pengganti. Tetapi aku tak pandai. Bekas suami dahulu adalah lelaki pertama yang aku rapat sebelum kami berkahwin. Dia cinta pertamaku. Malah aku juga cinta pertamanya.

“Sekarang setiap kali solat, memang wajib aku menagis. Tengah-tengah buat kerja termenung. Kejap menangis. Tetapi aku serius tak merayu dekat bekas suami. Cuma luahkan kepada kawan-kawan sahaja. Kadang-kadang terfikir, kenapalah diri ini diuji sedangkan aku tak pernah musnahkan hidup orang dahulu.

“Adakah mereka tak akan dikenakan kifarah? Demi Allah aku tak meredai perbuatan bekas suami terhadap aku dan anak. Aku bukan Tuhan, bukan juga malaikat ataupun Rasul. Jadi aku belum mampu maafkan perbuatan mereka. Sumpah mereka sangat jahat. Aku buat aduan di pejabat kesihatan mengenai tangkapan khalwat.

“Tetapi prosesnya sangat lambat. Kena tunggu keputusan mahkamah bagai. Tarikh mahkamah pun tiada lagi. Rasa macam tiada keadilan buat aku. Sebabnya mereka berdua bahagia sahaja aku tengok. Bahagia di atas penderitaan aku dan anak.” Tulis Mimi (Bukan nama sebenar) dalam satu forum atas talian.

Baca juga: “Aku nak gantung isteri aku tak bertali, dia asyik minta duit, aku ni nak kena tanggung mak, adik beradik lagi”