Lelaki menang saman lebih setengah juta terhadap syarikat kontraktor selepas motosikal langgar jalan berlubang 

Oleh KIM SYAZIE

Seorang lelaki berusia 49 tahun berjaya menuntut ganti rugi RM721,000 daripada sebuah syarikat penyelenggara jalan selepas dia cedera merempuh jalan berlubang yang tidak diselenggara di Pasir Gudang, tiga tahun lalu.

Mahkamah Sesyen Johor Bahru memerintahkan sebuah syarikat tersebut membayar ganti rugi dan kecederaan yang dialami selepas motosikalnya terlanggar jalan berlubang berhampiran Taman Kota Masai.

Hakim, Sazlina Safie, membuat keputusan itu selepas mendapati Razali @ Mohd Leey Subeh, selaku plaintif berjaya membuktikan tuntutannya terhadap Safwa Global Venture (M) Sdn Bhd, syarikat yang dilantik kerajaan negeri untuk menyelenggara jalan berkenaan.

Pada 11 Februari 2021, Razali dalam perjalanan dari Taman Cendana ke Taman Kota Masai pada kira-kira jam 10 malam.

Dia kemudian terlanggar jalan berlubang yang mengakibatkan plaintif terjatuh dan cedera.

Plaintif memfailkan saman terhadap syarikat berkenaan dan kerajaan negeri sebagai responden pertama dan kedua, masing-masing atas kecederaan dan kerosakan yang dialaminya akibat kejadian itu.

Pada 16 Mei 2022, plaintif telah menarik balik saman terhadap responden kedua (kerajaan negeri), manakala defendan pertama gagal membawa mana-mana pihak ketiga ke dalam tuntutan mahkamah berkenaan.

Sazlina dalam keputusannya, berkata syarikat terbabit juga gagal memfailkan sebarang hujah bertulis atau lisan walaupun beberapa kali penangguhan.

Beliau berkata, plaintif berjaya membuktikan kesnya atas imbangan kebarangkalian dan syarikat itu cuai sepenuhnya dalam kemalangan ini.

“Mahkamah mendapati isu jalan berlubang di tempat kejadian telah dibuktikan dan diakui oleh defendan.

“Syarikat itu juga mengemukakan kenyataan bercanggah dalam pembelaan mereka apabila pada mulanya mendakwa bahawa mereka tidak melihat sebarang jalan berlubang, tetapi kemudian menemui jalan berlubang yang disebabkan oleh kerja-kerja kemudahan awam,” katanya dalam alasan penghakiman yang disiarkan di laman web kehakiman .

Beliau berkata, syarikat itu berhujah bahawa lubang itu bukan tanggungjawab mereka kerana ia milik syarikat utiliti dan sepatutnya diselenggara subkontraktor atau pihak lain.

“Di sebalik dakwaan itu, syarikat gagal memulakan sebarang prosiding pihak ketiga terhadap mana-mana kontraktor atau pihak yang berkaitan dalam saman ini.

“Mahkamah juga mendapati adalah munasabah mangsa gagal menyedari jalan berlubang berikutan jarak penglihatan yang terhad dan pencahayaan yang tidak mencukupi di kawasan perumahan pada waktu kejadian,” katanya.

Oleh itu, mahkamah percaya defendan telah gagal dalam tugas mereka untuk menyelenggara jalan berkenaan dan mereka bertanggungjawab kepada plaintif di bawah Seksyen 7(3) Akta Prosiding Kerajaan 1956 (GPA).

Baca juga: Terima banyak komen negatif, Muaz anggap jarak usia 16 tahun dengan isteri bukan isu besar