Polis Kelantan berjaya menyekat kemasukan dadah baharu yang dikatakan sangat berbahaya kerana memiliki kesan 100 kali lebih kuat daripada morfin.
Difahamkan, kemasukan dadah jenis Fentanil itu dapat dihalang ekoran polis negeri itu menjalin kerjasama dengan pihak berkuasa dari negara seberang iaitu Thailand.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun mendedahkan, sudah ada cubaan untuk membawa masuk dadah ini dari Thailand ke negeri itu, namun ia tidak berhasil.
Pihaknya kemudian mengambil inisiatif mengadakan pertemuan dengan Perwakilan Parlimen Thailand bagi mengekang kemasukan dadah tersebut, lapor Harian Metro.
Menggemparkan, perkara tersebut dikongsikan Datuk Muhammad Zaki dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu, semalam.
“Difahamkan dadah ini dibawa masuk di sempadan Myanmar-Thailand dan sangat dekat dengan negara kita. Kawalan di sempadan negeri yang ketat sekali gus dapat mengekang kemasukan dadah berbahaya berkenaan.
“Justeru, kita sudah mengadakan perbincangan mengenai keselamatan sempadan dengan Perwakilan Parlimen Thailand pada 26 April lalu,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Perbincangan dilakukan untuk meningkatkan kawalan di sempadan memandangkan sebelum ini, sudah ada cubaan membawa masuk dadah jenis Fentanil ke Kelantan.
Mengulas lanjut, Datuk Muhammad Zaki memaklumkan bahawa bahan terlarang itu sememangnya berbahaya kerana kesannya 20 hingga 40 kali lebih kuat dari heroin.
Oleh yang demikian, pihak polis memohon kerjasama wakil rakyat, ketua kampung dan tentunya dari masyarakat untuk menjalankan tanggungjawab masing-masing.
“Pihak polis sentiasa bersedia untuk mengekang kemasukan dadah ini kerana ia sangat berbahaya dan difahamkan penagihnya akan menjadi seperti ‘Zombie’ jika mengambilnya.
“Untuk terus menggagalkan kemasukan dadah ini ke Kelantan, semua Ketua Polis Daerah, ketua kampung, wakil rakyat dan masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing.” Tegasnya.