Sekian lama berdiam diri, status sebenar perkahwinan pelakon iaitu Irma Hasmie akhirnya terbongkar selepas sahabatnya membuat pendedahan di laman Instagram.
Wanita yang dikenali sebagai Reen Emran itu mendedahkan, perkahwinan rakannya Irma bersama Redza Syah Azmeer sebenarnya sudah berakhir pada enam bulan lalu.
Jelas Reen, pendedahan tersebut dilakukannya dengan tujuan untuk mengelak dari sebarang fitnah di kemudian hari susulan mendapatkan keizinan Irma Hasmie sendiri.
Perkara tersebut didedahkan Reen menerusi satu hantaran dimuat naik di ‘Instastory’ sebelum dikongsikan semula oleh pengacara dan penceramah bebas iaitu Amin Idris.
“Saya dengan ini mewakili sahabat (Irma) ingin mengeluarkan kenyataan (dengan izin dia sendiri) untuk menjawab persoalan apakah status mereka sekarang agar dapat mengelakkan dari terus timbul fitnah.
“Untuk pengetahuan, mereka sudah sah bercerai pada enam bulan lepas. Dengan persoalan yang sudah terjawab, saya mohon kepada semua memberi ruang untuk sahabat saya,” katanya dalam perkongsian tersebut.
Dalam hantaran sama, Reen turut memberitahu bahawa Irma dan dua anaknya iaitu Redza Syed Irfhan, 11, dan Irma Nur Naylie yang kini berusia 10 tahun berada dalam keadaan baik.
Malah pemilik nama sebenar Irma Hasmie Ibrahim itu juga dikatakan bakal ‘terbang’ ke Arab Saudi tidak lama lagi untuk mengerjakan ibadah haji dalam masa terdekat.
“Alhamdulillah, dia dan anak-anak okay dan sihat sahaja. Allah kurniakan sesuatu yang lebih baik dan indah, Insya-Allah, dia akan mengerjakan ibadah haji tak lama lagi.
“Mohon semua doakan yang baik-baik buat sahabat saya. Terima kasih semua.” Pinta Reen Emran kepada orang ramai khususnya mereka yang membaca hantaran tersebut.
Terdahulu, status perkawinan Irma mula menjadi tanda tanya selepas Redza memuat naik gambar bersama isteri baharu pada ‘hari bahagia’ mereka di laman Instagram.
Gambar tersebut seakan menguatkan spekulasi mengenai pergolakan rumah tangga pasangan itu yang timbul pada tahun lalu selepas Irma berkongsi status mengenai kesabaran seorang wanita.
Sekadar info, Irma dan Redza melangsungkan perkahwinan pada tahun 2012 lalu dan hasil perkongsian hidup mereka telah dikurniakan dengan dua cahaya mata.
Baca juga: Akui rumah tangga bergolak, Nora Danish mengaku tak tinggal bersama, tiada isu orang ketiga