Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan kenaikan lebih 13 peratus membabitkan gaji penjawat awam mulai 1 Disember depan.
Anwar dalam pengumuman tersebut turut memaklumkan bahawa kenaikan gaji kali ini sekaligus mencatatkan kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara.
Khabar gembira ini dikongsikan Anwar dalam Majlis Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), lapor Astro Awani.
“Sejarah kenaikan (gaji penjawat awam) paling tinggi sebelum ini adalah 13 peratus. Jadi untuk tahun ini, saya akan mengumumkan kenaikan yang lebih tinggi daripada 13 peratus.
“Maka kita akan melaksanakan lebih 13 peratus peratus kenaikan mulai 1 Disember tahun ini, sebab saya sudah berjanji,” tegasnya ketika menyampaikan amanat kepada penjawat awam, memetik laporan Awani.
Anwar yang juga Menteri Kewangan itu menjelaskan, kenaikan tersebut membabitkan peruntukan mencecah lebih RM10 bilion ekoran jumlahnya yang besar dan lumayan.
Keputusan dibuat berdasarkan kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) itu turut membabitkan gaji dan elaun yang melebihi RM2,000 sebulan bermula tahun ini.
“Pada masa ini, jumlah pendapatan minimum meliputi gaji dan elaun tetap penjawat awam yang sedia ada adalah RM1,795 sebulan.
“Namun di bawah SSPA yang sedang diperincikan, kerajaan akan meningkatkan gaji bagi memastikan jumlah pendapatan minimum penjawat awam melebihi RM2,000 sebulan,” ulasnya.
Walau bagaimanapun, kenaikan gaji tersebut boleh dikecualikan kepada penjawat awam tertentu sekiranya mereka tidak menunjukkan prestasi yang membanggakan.
“Kalau rekod pekerjaannya tak membanggakan, malas, sering lambat dan tidak beri tumpuan yang baik maka tidak layak diberikan ganjaran (kenaikan gaji) seperti yang dijanjikan kerajaan.” Katanya.
Anwar turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sabah dan Sarawak kerana bersetuju membuat pindaan ke atas Ordinan Buruh Sabah (Ordinan Cap.67) dan Sarawak (Ordinan Bab 76) untuk diselaraskan dengan Akta Kerja 1955 yang terpakai di Semenanjung Malaysia.
Sehubungan dengan itu, RUU Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2024 dan RUU Ordinan Buruh Sarawak akan dibentangkan dalam sidang Parlimen akan datang.
Baca juga: Pembeli dedah kedai runcit letak syarat beli minyak paket, sekali ini yang KPDN buat