Pakai baju sejuk masa hari panas, David Teo dedah teruk disihir, rupanya angkara keluarga terdekat

Oleh MAISARAH AISYA

Siapa sangka zaman sekarang masih ada yang menggunakan ilmu hitam untuk menjatuhkan seseorang.

Tidak hanya itu, ada juga yang tak akan berhenti selagi target mereka tidak mencapai sasaran.

Buat penerbit terkenal ini, David Teo berkongsi bagaimana dirinya terkena sihir hingga memberi kesan kepada kehidupan seharian.

Menurut Kosmo! Online, Pengarah Urusan Metrowealth International Group (MIG) itu mendedahkan kejadian tersebut berlaku pada 2018 seminggu selepas bapanya meninggal dunia.

“Seminggu selepas bapa meninggal dunia saya pulang ke rumah dan mula tidak boleh tidur dan darah tinggi juga naik dengan begitu mendadak.

“Saya sangka sakit biasa dan makan ubat hospital tetapi masih tidak baik. Selain itu, saya sering terasa sejuk walaupun berada di tempat yang panas.

“Bayangkan saya pakai baju tebal untuk musim sejuk di tengah terik matahari dan saya tidak rasa panas langsung. Saya juga hilang semangat kerja dan sentiasa fikir mahu mati,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Kerap makan, gemar telur

Tambahnya, sebagai seorang yang tidak makan banyak, dia mampu makan nasi dengan kerap sehingga pukul 3 pagi. Bahkan dia juga tiba-tiba menggemari telur separuh masak.

“Saya yang normal tidak suka telur separuh masak, tetapi sejak terkena sihir saya boleh makan sehingga 10 biji telur separuh masak sekali makan,” kata David.

Berubat dengan perubatan Islam

Selepas sebulan mengalami simptom tersebut, David dibawa berubat dengan perubatan Islam selepas perubahan dirinya disedari oleh salah seorang pekerja syarikatnya.

“Ustaz yang merawat kata saya boleh mati jika tidak dirawat dengan segera. Katanya saya disihir dan terkena santau.

“Lintah dimasukkan ke dalam badan saya untuk buat saya sakit secara perlahan-lahan.

“Selepas dirawat saya kembali sihat dan menjadi diri saya yang normal. Meskipun saya banyak menerbitkan filem seram dan mistik, inilah adalah pengalaman pertama saya hadapi sihir dan santau,” ujar David.

Disihir keluarga terdekat

David juga tidak menyangka konflik keluarga penyebab saudara terdekat sanggup ‘menghantar’ sihir.

“Saya ingat orang lain rupanya ahli keluarga sendiri. Patutlah semasa sakit, saya bermimpi ukiran kayu.

“Sebab saudara saya itu memang tinggal dan bekerja di Indonesia sudah lebih 10 tahun. Sekarang selepas saya sihat hubungan kami seperti biasa, tidaklah rapat.

“Cuma saya sudah berjanji untuk tidak mempertikaikan lagi perbuatan dia. Hati saya sudah melepaskan apa yang berlaku,” jelas David.

Baca juga: Kecoh Redza menikah sekali lagi, sahabat nekad dedah status sebenar Irma Hasmie