“Tak adil untuk anak guam saya”, peguam MB Perlis tak setuju siasatan jadi bahan media

Oleh WAN SITI AMINAH

Peguam yang mewakili Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli iaitu Mohd Fadhly Yaacob tidak bersetuju siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas anak guamnya didedahkan kepada umum.

Menyifatkan perkara tersebut tidak adil sama sekali, Mohd Fadhly turut mendakwa siasatan ke atas Pesuruhjaya PAS dan enam individu, termasuk anaknya berhubung pemalsuan dokumen untuk tuntutan palsu dijadikan SPRM sebagai bahan media.

Jelas Mohd Fadhly, pendedahan siasatan oleh agensi antirasuah berkenaan boleh meletakkan menteri besar yang disyaki terlibat di dalam kegiatan salah guna kuasa itu di dalam ‘perbicaraan awam’, lapor Berita Harian.

Selain menjadi peguam kepada Mohd Shukri yang diminta memberikan keterangan untuk dua siasatan berasingan membabitkan salah guna kuasa dan pemalsuan dokumen untuk tuntutan palsu, Mohd Fadhly turut mewakili enam individu lain termasuk anak menteri besar terbabit.

“Sebagai peguam, saya berpendapat isi kandungan siasatan tak seharusnya dijadikan bahan media. Ini akan menyebabkan satu ‘public trial’ yang tidak adil untuk anak guam saya,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Sementara itu, PAS Perlis turut menyatakan keyakinan pihaknya bahawa siasatan tersebut dilaksanakan SPRM secara adil dan telus serta bebas daripada sebarang pengaruh politik.

Ketua Penerangan PAS Perlis, Asrul Aimran Abd Jalil memaklumkan, pihaknya menyambut baik kenyataan Mohd Shukri yang memberi jaminan akan memberikan kerjasama penuh berhubung isu rasuah tersebut.

Asrul Aimran juga meminta rakyat supaya kekal bertenang selain mendapatkan maklumat mengenai siasatan kes tersebut daripada sumber sahih dan mematuhi undang-undang negara.

“Walaupun timbul pelbagai spekulasi berhubung isu itu, kita (PAS Perlis) tetap menaruh keyakinan bahawa siasatan yang berlaku dilaksanakan secara adil dan telus serta bebas daripada sebarang pengaruh politik.

“Pada masa sama, kita mengajak seluruh rakyat di negeri ini mendoakan yang terbaik buat Menteri Besar kita dalam menghadapi saat mencabar ini.” Pintanya.

Terdahulu, anak Mohd Shukri yang juga menantu kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang adalah antara enam individu yang direman oleh SPRM pada Rabu, minggu lalu.

Penahanan itu dilakukan untuk membantu siasatan berhubung kesalahan berkaitan pemalsuan dokumen dalam membuat tuntutan palsu sedangkan kerja-kerja berkenaan tidak dilaksanakan.

Keseluruhan projek berkaitan tuntutan berkenaan difahamkan melibatkan kerja-kerja baik pulih, penyelenggaraan, pembekalan dan perkhidmatan bermula dari 2022 sehingga kini dianggarkan bernilai RM600,000.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki kemudian mengesahkan salah satu kes yang disiasat termasuk dakwaan tuntutan palsu bagi membekalkan minuman untuk Raja Perlis semasa baginda mendapatkan rawatan di sebuah hospital di negeri itu.

Baca juga: Warganet geleng kepala pelancong selamba bergambar tengah jalan demi ‘spot’ cantik depan KLCC