Segelintir penyewa projek perumahan rakyat (PPR) di Kuala Lumpur mengambil kesempatan untuk meraih untung atas angin apabila dikesan menyewakan unit sewaan mereka kepada warga asing.
Berdasarkan risikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), penyewa warga tempatan membayar sewa RM124 setiap bulan, tetapi menetapkan kadar sewa bulanan antara RM600 hingga RM1,200 kepada warga asing bergantung lokasi.
Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosioekonomi) DBKL Ismadi Sakirin berkata, kadar sewa itu tidak menjadi masalah kepada warga asing kerana mereka tinggal beramai-ramai di rumah berkenaan atau berkongsi dengan rakan.
“Ada yang sewa serendah RM600 sehinggalah RM1,200 berdasarkan kepada lokasi. Kalau di Pantai Dalam, (sewa) RM1,000 ke RM1,200 boleh pergi.
“Tetapi di Batu Muda, mungkin (sewa) RM600. Dia tengok kepada lokasi. Untung atas angin itu berlipat kali ganda,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Mengulas lanjut, Ismadi berkata, sejak 2022 sehingga Februari lalu, sebanyak 26 aduan dan tindakan penguatkuasaan diambil oleh DBKL dengan merampas unit yang disewakan kepada warga asing.
Menurutnya, trend warga tempatan menyewakan rumah PPR atau PA meningkat sejak tiga tahun kebelakangan ini.
Katanya, keadaan itu berjaya dikesan menerusi rampasan empat unit kediaman pada 2022, 12 unit (2023) dan 10 unit setakat Februari tahun ini.
Adalah menjadi kesalahan bagi penyewa dan pembeli rumah PPR atau PA milik DBKL menyewakannya kepada penghuni yang tidak sah termasuk warga asing.
“Ketua penyewa yang menyewakan unit milik DBKL (unit sewa) kepada warga asing akan diambil tindakan penguatkuasaan serta-merta termasuk merampas unit tersebut dan membatalkan penyewaan kediaman.
“Bagi pemilik yang telah memiliki unit (unit beli), DBKL akan mengeluarkan notis kepada pemilik untuk membaiki kemungkiran dilakukan dalam 14 hari untuk mengeluarkan warga asing daripada rumah pemilik tersebut,” katanya.
Beliau berkata, DBKL juga mengalu-alukan aduan daripada penghuni mengenai kemungkiran yang dilakukan oleh ketua penyewa yang berlaku di kawasan PPR atau PA masing-masing.
“Ia bagi memastikan individu yang mengaut keuntungan dengan menyewakan kepada pihak ketiga lebih-lebih lagi warga asing ini diambil tindakan sewajarnya dan membolehkan pemohon yang lebih memerlukan mendapatkan unit di PPR atau PA ini,” katanya.
Baca juga: Hanya ditawar RM150 sehari, pelakon lama luah rasa kecewa dengan dunia hiburan