“Aku turun pangkat lepas hamil lima bulan, suami tiba-tiba berubah siap tidur di ruang tamu!”

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru setahun melayari bahtera rumah tangga, seorang wanita telah melalui pelbagai episod getir angkara perbuatan insan bergelar suami.

Mulanya dikenal sebagai lelaki yang baik hati, wanita tersebut terperanjat apabila melihat perubahan suaminya selepas beberapa bulan melangsungkan perkahwinan.

Apa yang memburukkan keadaan, suami kesayangannya itu berubah sekelip mata apabila wanita berkenaan diturunkan pangkat selepas lima bulan disahkan hamil.

Tidak berputus asa, berikut perkongsian wanita dikenali sebagai JM yang sentiasa berdoa agar suaminya berubah menjadi lelaki bertanggungjawab satu hari nanti.

“Saya seorang isteri, usia perkahwinan baru masuk setahun. Saya juga baru sahaja melahirkan seorang zuriat. Kami berkahwin atas dasar suka sama suka kerana sudah berkawan sejak zaman universiti. Kami suami isteri bekerja, tetapi pendapatan saya sedikit lebih tinggi berbanding suami.

“Kami tinggal di rumah ibu mentua. Kebanyakan masa kami tinggal berdua kerana ibu mentua ada rumah lain di johor. Awal perkahwinan, suami tidak pernah culas beri duit nafkah. Walaupun tidak banyak, tetapi saya bersyukur dan rasa dihargai. Suami lembut dalam pertuturan, ramai kawan kerana sifatnya mudah disenangi.

“Dalam urusan rumahtangga, dia juga tak kekok mengemas dan menguruskan kerja rumah secara rutin jika saya penat bertugas dan tiada masa. Saya kerja ikut waktu shift, sedangkan suami bekerja di waktu pejabat. Kami tidak banyak bersama kerana ketika saya balik kerja, suami telah tidur atau keluar lepak bersama kawannya.

“Dari awal perkahwinan saya sudah berbincang mengenai rutin kerja. Jawapannya sebagai suami, dia mahu sokong kerjaya isteri dan berjanji akan kurangkan beban tugas di rumah bersama-sama. Nak dijadikan cerita, saya hamil selepas dua bulan berkahwin. Kami berdua, sangat gembira pada awalnya.

“Kami banyak berbincang mengenai topik-topik berkaitan kehamilan dan keperluan selepas mempunyai anak. Sewaktu saya mengalami alahan pada awal kehamilan, dia ada bantu memasak. Sebagai isteri dan bakal ibu, saya merasa sangat gembira dan dihargai oleh suami kerana dia menunjukkan rasa ambil berat.

“Sewaktu hamil, saya masih bekerja seperti biasa. Saya seorang yang berdikari dan jarang meminta bantuan dari suami sejak awal perkahwinan. Memandangkan kos ke tempat kerja lebih jimat jika menaiki MRT, jadi setiap hari saya memandu ke tempat letak kenderaan dan menaiki kemudahan pengangkutan itu ke tempat kerja.

“Dari awal hamil sehinggalah sudah nak bersalin, saya boleh kira berapa kali suami hantar ke tempat kerja. Setelah beberapa bulan berkahwin, saya baru sedar suami jenis berkira bab duit. Dari makan, sehinggalah urusan lain yang berkaitan dengan duit. Dia cuma beri wang nafkah, tetapi tidak peduli dengan keperluan lain.

“Pada awalnya, saya tidak kisah kerana masih mampu beli dan bayar apa yang saya mahu. Tetapi lama-kelamaan, saya merasa dipergunakan. Wang belanja dapur pun saya yang keluarkan. Dia tumpang makan sahaja. Masalah bermula sewaktu saya hamil lima bulan. Saya diuji dengan masalah di tempat kerja.

“Ujian itu menyebabkan saya dikenakan tindakan oleh syarikat. Diturunkan pangkat ke jawatan yang lebih rendah dengan gaji minimum. Saya merasa sangat tidak adil kerana dianiaya dan tidak dipercayai setelah kejadian itu berlaku. Sewaktu tempoh penggantungan kerja, saya dapat rasakan layanan suami mula berubah.

“Sudahlah diuji dengan penganiayaan di tempat kerja, rasa maruah diri jatuh kerana direndahkan. Suami pula seolah-olah tidak dapat terima hakikat yang pendapatan saya tidak seperti dahulu. Saya yang sedang sarat mengandung enam bulan merasa sangat tertekan tetapi sedaya upaya melawan kerana risau akan kandungan.

“Setelah diturunkan pangkat, suami semakin kurang beri perhatian kepada saya. Dia kurang bertanya mengenai kandungan dan semakin dingin dengan saya. Dia jarang menjawab pertanyaan saya atau hanya jawab sepatah. Tiada langsung keinginan nak bermesra dengan saya apatah lagi nak beri nafkah batin.

“Lama-kelamaan, kami sudah tidak tidur sebilik dan dia banyak tidur di ruang tamu. Membiarkan saya yang sedang sarat hamil tidur bersendirian di tingkat atas. Saya hadap sendiri badan yang sengal-sengal, kaki kejang, muntah-muntah dan susah lelap mata. Setiap hari saya tertanya, mengapa suami terlalu banyak berubah. 

“Saya teringin juga nak rasa suami urut badan tanpa disuruh, usap perut, dengar luahan atau layan mengidam macam lelaki lain. Tetapi apakan daya, terlalu banyak perubahan dia sejak saya diturunkan pangkat. Sedangkan saya tak mengabaikan penampilan di rumah dan berada dalam keadaan terurus walaupun penat bekerja.

“Tidak tahu di mana silap saya sehingga diabai sebegini. Saya sebagai isteri merasa tiada fungsi dan terabai. Sudahlah bab duit berkira, nafkah batin juga tidak diberi. Dalam perbelanjaan rumah tangga, suami hanya bayar bil. Untuk urusan beli barang dapur, kebanyakan perbelanjaan dikeluarkan dengan duit saya.

“Seingat saya, adalah sekali suami belikan beras sebab dia tidak makan nasi. Pernah sewaktu saya hamil empat bulan, beras habis. Saya minta dia tolong beli kerana tak larat ke kedai akibat alahan di awal kehamilan. Dua hari berlalu, dia tidak beli juga. Saya yang kena pergi beli sendiri seperti kebiasaan.

“Sudahlah mak mentua kadang-kadang tinggal bersama. Suami juga jarang ajak keluar berjalan. Jika keluar pun, mesti pergi bersama rakan baiknya sekali. Pasar malam di depan rumah, tetapi kami pernah pergi bersama sekali sahaja sepanjang berkahwin. Terngiang ayat suami, ‘jangan minta abang tanggung pula sayang nanti’. 

“Kata kata tersebut saya ingat dan tersemat dalam hati. Sewaktu sarat hamil tujuh bulan, saya kembali bekerja dan ditukarkan ke cawangan lain yang lebih jauh dari rumah. Kos ke tempat kerja juga sangat tinggi. Tetapi, saya terima dan redha dengan ujian ini tanpa banyak merungut. Suami juga sudah kurang ambil tahu.

“Bagi suami, asal saya ada pendapatan sendiri dan tidak menyusahkan dia, sudah memadai. Ketika hamil tujuh bulan juga, kandungan saya ada masalah tumbesaran dan dirujuk pada pakar di hospital untuk dipantau. Suami saya semakin dingin. Pada usia kehamilan 29 minggu, saya ditahan wad selama seminggu.

“Kadang-kadang saya selalu terfikir, yang tuhan sengaja kirimkan berbagai dugaan untuk nampak perangai sebenar suami. Sekarang suami tidak tidur sebilik, jarang berkomunikasi, selalu lepak bersama kawan lepas balik kerja dan buat kerja pejabat di rumah. Saya pernah ajak berbincang, tetapi suami anggap okay sahaja.

“Sebagai seorang perempuan, saya tetap ingin dibelai dan dimanja walau berdikari macam mana sekalipun. Saya tidak banyak harapkan banyak dari suami. Cukup dia ambil berat, bagi nafkah bulanan dan tanggung sedikit belanja dapur untuk lepas tanggungjawab dia dari segi agama.

“Untuk nafkah batin pula, sebagai isteri logiklah merasa berasa curiga kerana suami tidak lagi berkeinginan dan enggan tidur sebilik. Keperluan asas dari ubat-ubatan dan supplementtambahan sewaktu hamil serta berpantang, semuanya dibeli dari duit gaji saya. Satu sen pun dia tak keluar. Suami hanya bayar bil hospital sahaja.

“Kini, saya masih lagi berpantang di kampung. Setiap hari saya berdoa semoga suami berubah dan tahu tanggungjawab sendiri demi keharmonian rumah tangga. Nasihat saya kepada suami di luar sana, hargailah isteri. Terutamanya isteri yang mempunyai pendapatan dan sanggup membantu menafkahi rumah tangga.

“Suami kena faham tanggungjawab mereka dan apa itu nafkah. Jangan mengambil kesempatan. Isteri mungkin redha, tetapi itu bukan alasan untuk suami lepas tangan. Tunaikan tanggungjawab. Ingat, anak isteri itu amanah yang dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.” Kongsi wanita berkenaan di sebuah forum atas talian.

Baca juga: Pernah berdoa depan Kaabah 2 tahun lepas, Wan Maimunah menangis gembira dapat tunai haji