Siapa sangka, pasangan suami isteri ini berjaya meraih keuntungan mencecah RM6,000 sebulan dengan hanya menjual telur masin.
Perniagaan berkenaan kini menjadi sumber pendapatan baharu kepada pasangan yang sudah lanjut usia itu sejak ia mula diusahakan oleh mereka kira-kira lima tahun lalu.
Sebelum ini, keluarga tersebut hanya bergantung hidup kepada gaji sang suami yang bernilai RM3,000 sebulan sebagai pekerja am di Pelabuhan Utara, Klang, Selangor.
Bapa kepada tiga orang anak dikenali sebagai Nordin Hamid itu pernah bekerja secara syif sebelum membuat keputusan untuk membuka perniagaan bersama isteri.
Keputusan tersebut membuahkan hasil apabila mereka akhirnya berjaya mendapatkan pulangan sekali ganda lebih banyak daripada gaji yang diperolehinya dahulu.
Menjual kira-kira 15,000 biji telur masin sebulan, bapa yang berusia 57 tahun itu mempelajari cara membuat dan menjaga telur masin menerusi saluran Youtube.
Perniagaan tersebut diusahakan Nordin bersama isteri, Noorsham Abdullah yang berusia 59 tahun dan turut dibantu oleh tiga orang anak mereka, lapor Kosmo.
Walaupun berhasil mendapat bekalan telur itik daripada pembekal di sekitar Pantai Remis, anak kelahiran Hutan Melintang, Perak itu itu masih berdepan dengan cabaran.
“Cabarannya adalah terdapat telur yang retak dan pecah ketika membeli ribuan biji daripada pembekal. Apabila pecah, telur itik itu tidak boleh diproses.
“(Hal ini) kerana isinya jadi terlampau masin setelah menjalani proses rendaman selama dua minggu,” katanya memetik laporan Kosmo.
Nordin bagaimanapun bersyukur kerana memiliki lebih banyak masa untuk diluangkan bersama anak-anak sejak menceburi bidang perniagaan berbanding makan gaji.
Nordin juga akan mengembangkan perniagaan dengan membeli mesin pemprosesan telur dan rendaman bagi menggantikan kaedah tradisional yang dilakukannya saat ini.
“Menerusinya saya mempunyai lebih masa bersama tiga anak berusia 27 hingga 34 tahun yang kadangkala membantu perniagaan ini,” katanya yang menjalankan perniagaan di Kampung Rantau Panjang, Klang.
Baca juga: Sehari boleh jual 400 hidangan, rakyat Malaysia raih pendapatan lumayan jual nasi lemak di Shanghai