Sebar video tak senonoh bekas suami bergelar Datuk, pensyarah wanita ditahan

Oleh MAISARAH AISYA

Menyebarkan video tidak senonoh pasangan adalah satu kesalahan yang boleh menjatuhkan air muka dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Tular sebelum ini mengenai seorang pensyarah wanita kantoi menyebarkan video tidak senonoh bekas suami yang juga seorang kenamaan lapor Kosmo! Online.

Lelaki bergelar Datuk berusia 60 tahun itu menyedari bekas isterinya berusia 40-an itu menyebar video mengaibkan tampil membuat laporan di Balai Polis Ampang, 28 April lalu.

Sumber memaklumkan mangsa membuat laporan polis selepas menyedari suspek menayang video tidak eloknya kepada pihak polis ketika dipanggil ke balai polis berkaitan perselisihan faham rumah tangga.

“Suspek juga dikatakan menunjukkan video terbabit di Balai Polis Petaling Jaya ketika disoal siasat berkaitan kes komersial.

“Mangsa sudah empat tahun berkahwin dengan suspek sebelum berpisah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan mengesahkan menerima laporan dibuat mangsa.

Menurutnya, pensyarah wanita itu ditahan pada Khamis lalu sebelum dibebaskan dengan jaminan polis pada hari sama.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Baca juga: Isu tatasusila dan sosial jadi pertimbangan, ini tindakan RTM terhadap pelakon bermasalah