Walaupun kecewa cucu undur diri, pelakon veteran akui gembira doa di Tanah Suci termakbul

Oleh MAISARAH AISYA

Umum tahu pemakaian anggota kumpulan Dolla sering dikritik ramai kerana terlalu terbuka walaupun dua anggota beragama Islam.

Selepas tular dakwaan Syasya keluar Dolla secara tiba-tiba, gambar perkahwinan di bulan Syawal pula menjadi bualan ramai.

Sering tampil menasihat cucu dek pakaian seksi, pelakon lama Rozie Othman akui kecewa Syasya tinggalkan dunia seni dikala nama tengah naik lapor Kosmo! Online.

Menurut pelakon berusia 61 tahun itu, mereka sekeluarga reda dengan keputusan dibuat Syasya dan berkongsi sebab sebenar penyanyi itu memilih untuk berkahwin.

“Syasya, mummy (nama panggilan Rozie) ucapkan tahniah dan selamat pengantin baharu walaupun mummy ada rasa kecewa kerana nama awak tengah naik dan buat keputusan untuk berkahwin.

“Mummy dan keluarga terpaksa berlapang dada dan apa-apa keputusan, insya-Allah kalau suatu hari nanti awak mahu kembali. Saya doakan awak.

“Namun, bila dia buat keputusan tarik diri memang agak kecewa. Ramai kawan-kawan bertanya tetapi saya tiada jawapan.

“Mungkin Allah tentukan untuk dia tidak bernyanyi lagi,” katanya menerusi sebuah temu bual program hiburan.

Ikut suami sambung belajar

Jelas Rozie lagi, penyanyi berusia 22 tahun itu terpaksa keluar daripada Dolla untuk mengikuti suami ke luar negara bagi menyambung pelajaran.

“Dia nak kahwin sebab suaminya mahu sambung belajar. Memang dia tidak mahu keluar tetapi disebabkan perjanjian sudah berkahwin kena keluar.

“Insya-Allah, selepas raya haji Syasya dan suami akan bergerak ke luar negara untuk sambung belajar,” kongsinya.

Doa termakbul

Pada masa sama, Rozie berkongsi doa ketika di Tanah Suci untuk melihat cucunya menutup aurat akhirnya dimakbulkan.

“Masa dia mahu bernikah, saya sebulan berada di Tanah Suci. Saya berdoa kalau Syasya mahu cipta nama minta dia tukar penampilan supaya tidak seksi dan biarlah nampak kewanitaan.

“Tetapi mungkin Allah kabulkan sekarang ini dia sudah bertudung dan terpaksa keluar dari kumpulan,” jelasnya lagi.

Baca juga: “Mungkin rezeki kita kat syurga” -Izzue Islam dah lali disoal mengenai anak, gembira hidup berdua