Jumlah rasuah masih dalam siasatan, 4 pegawai kanan agensi kerajaan di Kelantan direman

Oleh WAN SITI AMINAH

Tiga pegawai kanan termasuk seorang pengurus besar sebuah agensi kerajaan di Kelantan ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan kes rasuah.

Manakala seorang lagi pegawai kanan yang bertugas di agensi sama disambung reman selama tiga hari kerana disyaki melakukan tuntutan palsu sejak tahun lalu.

Difahamkan, perintah reman sehingga 9 Mei itu dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Nik Haibri Muhamad terhadap kesemua individu yang terlibat.

Perintah itu dikeluarkan susulan mahkamah menerima permohonan yang dibuat oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) pada Isnin, lapor Sinar Harian.

Kesemua pegawai kanan yang berusia di antara 40 sehingga 49 tahun itu disyaki telah meminta dan menerima wang rasuah daripada beberapa individu atau syarikat.

Tiga orang pegawai yang baru ditahan reman itu mulanya ditahan pukul 7.30 malam Ahad (semalam) ketika dipanggil memberi keterangan di ibu pejabat SPRM Kelantan.

Mereka akan disiasat mengikut Seksyen 17a Akta SPRM 2009 kerana dipercayai terbabit meminta dan menerima wang rasuah di mana jumlahnya masih berada di dalam siasatan.

Seorang lagi pegawai yang ditahan pada 30 April pula dibawa ke mahkamah untuk disambung reman selepas tempoh tahanan dijalankan ke atasnya sebelum ini tamat.

Pegawai kanan terbabit masih lagi disiasat oleh agensi antirasuah berkenaan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2019 selepas disyaki membuat tuntutan palsu sejak tahun lalu.

Terdahulu, kesemua mereka yang berpakaian lokap dilihat tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Bharu pada jam 9.15 pagi dengan menaiki kenderaan SPRM.

Baca juga: Tak semua penjawat awam dapat kenaikan gaji, Anwar bagi amaran kepada pekerja dengan masalah disiplin