Tular sebelum ini mengenai Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan salah guna kuasa.
Ia membabitkan pelaksanaan projek pembangunan prasarana termasuk membaik pulih, menyelenggara, pembekalan dan perkhidmatan di seluruh Perlis sejak 2022.
Disebabkan hal tersebut ramai mula menyuarakan pendapat agar Mohd. Shukri melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan bahawa Menteri Besar tidak boleh dipecat sewenang-wenangnya.
“Seseorang Menteri Besar tidak boleh dipecat sewenang-wenangnya kecuali dia melanggar perkara yang ditetapkan Perlembagaan”, katanya seperti dipetik Kosmo! Online.
Tambah Ahli Parlimen Kota Bharu itu, seseorang itu adalah tidak bersalah sehingga dibuktikan oleh mahkamah.
“(Sekiranya) seseorang itu muflis, didapati bersalah oleh mahkamah, dihukum penjara lebih 12 bulan, didenda lebih RM2,000 atau dia hilang majoriti. Itu sahaja sebab seorang Menteri Besar hilang jawatan,” tambahnya.
Pada masa sama, Takiyuddin berkata mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Bersatu atau Pas layak menjadi Menteri Besar negeri itu.
“Kita di Perlis tidak ada Pas, tidak ada Bersatu kita ada PN. Jadi siapa pun ADUN PN layak menjadi Menteri Besar sekiranya mendapat sokongan daripada parti.
“Kita ada 15 kerusi, kalau lebih dari separuh menghendak kepada mana-mana ADUN, ADUN itulah menjadi Menteri Besar,” jelasnya.
Baca juga: Restoran mohon maaf berhubung komen ‘type C’ – “Kesilapan tidak disengajakan”