Malaysia tambah 10 kontena bantuan ke Gaza, peranan PMX bantu lancarkan perjalanan

Oleh WAN SITI AMINAH

Malaysia menambah 10 lagi kontena Bantuan Kemanusiaan Kecemasan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 110 buah kontena dihantar ke Gaza, Palestin.

Perkara tersebut dimaklumkan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook miliknya.

Difahamkan, Nik Nazmi menghadiri pelancaran misi bantuan itu semalam di Kaherah, Mesir bagi mewakili Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Nik Nazmi yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa itu memberitahu, kontena berkenaan mengandungi makanan asas seperti beras dan tepung, selain kit kebersihan diri termasuk tuala wanita.

Pelancaran misi bantuan oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) ini turut dihadiri Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid dan ketua misi bantuan, Sani Araby Abdul Alim Araby.

“Misi Bantuan Kemanusiaan Kecemasan 100 Kontena Malaysia ke Gaza menerima penambahan 10 lagi buah kontena menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 110 buah kontena.

“Dengan nilai RM12 juta, (bantuan ini) boleh memanfaatkan 60,000 keluarga di Gaza. Kontena ini mengandungi makanan asas seperti beras, tepung dan minyak serta kit kebersihan diri seperti ubat gigi, sabun dan tuala wanita,” katanya.

Menurut Nik Nazmi, hubungan diplomatik antara Malaysia dan Mesir serta peranan langsung Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membolehkan kontena barangan bantuan itu melalui perjalanan yang lancar.

Dalam hantaran sama, Nik Nazmi turut menegaskan pendirian Malaysia untuk kekal lantang bersuara dalam isu kemanusiaan seperti aparteid, Palestin dan Bosnia yang menjadi tradisi sejak awal kemerdekaan negara.

“Ketegasan Anwar di hadapan Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden dan Canselor Jerman, Olaf Scholz mendapat perhatian dunia. Isu ini bukan sahaja merentas politik kepartian Malaysia, malah kaum, agama dan sempadan. 

“Malah kebangkitan mahasiswa di Amerika melihat keanehan siswa Yahudi yang anti Zionis dicop anti Semitik! Dunia maju bercakap tentang sifar bersih karbon, tetapi tidak tegas dalam isu letupan berterusan.

“(Serangan ini menyebabkan) pencemaran air yang kritikal dan kerosakan tanah di Gaza. Sebelum ini serangan Rusia ke Ukraine juga digelar ‘ecocide’.” Ulas Nik Nazmi lagi.

Terdahulu, Zahid melancarkan penghantaran 100 kontena yang mengandungi 1,358 tan barangan ke Gaza di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja (TUDM) Subang, Selangor pada 23 Mac lalu.

Baca juga: Isu salah guna kuasa MB Perlis, Takiyuddin tegas tak perlu pecat selagi tak bersalah