Dulu berlakon jadi anak, aktres ini bakal warisi harta Stephen Chow bernilai ratusan juta ringgit?

Oleh WAN SITI AMINAH

Raja komedi Hong Kong, Stephen Chow dikhabarkan akan mewariskan harta miliknya kepada dua orang pelakon wanita yang tidak memiliki pertalian darah dengannya.

Difahamkan, pelakon dikenali sebagai Xu Jiao dan Cecilia Cheung itu dikatakan telah tersenarai sebagai penerima manfaat dalam wasiat Stephen selain ahli keluarganya.

Xu Jiao merupakan pelakon yang memainkan watak anak lelaki Stephen dalam filem komedi sci-fi terkenal iaitu CJ7 ketika usianya baru mencecah 10 tahun pada 2008.

Selain dinobatkan sebagai Pelakon Baharu Terbaik dalam Anugerah Filem Hong Kong ke-28, lakonan dalam filem CJ7 turut mempopularkan Xu Jiao dengan sekelip mata.

Sejak itu, hubungan mereka mulai akrab malah Stephen yang tidak mempunyai zuriat itu juga didakwa telah menjadikan pelakon terbabit sebagai anak pembaptisannya.

Bahkan Xu Jiao yang kini berusia 26 tahun dikatakan turut menerima bantuan secara kewangan dari pemilik nama sebenar Chiau Sing Chi itu, lapor portal Today Online.

Seorang lagi pelakon didakwa tersenarai dalam wasiat tersebut adalah Cecilia yang diketahui memiliki hubungan rapat dengan Stephen kerana sering kali bekerjasama.

Antara filem lakonan mereka berdua yang cukup terkesan di hati peminat adalah King of Comedy (1999), Shaolin Soccer (2001) dan The New King of Comedy (2019).

Stephen Chow yang kini berusia 62 tahun itu dilaporkan memiliki kekayaan bernilai S$250juta (RM875,494,579) hasil dari lakonan, pengarahan dan beberapa jenis perniagaan.

Mengundang perbincangan hangat, dakwaan mengenai salah seorang selebriti yang terkaya di Hong Kong itu ditularkan di platform digital terkenal di China iaitu Weibo.

Penulis hantaran di Weibo itu mendakwa, warisan terkandung dalam wasiat tersebut mungkin tidak terhad kepada wang sahaja bahkan turut melibatkan saham syarikat.

Bagaimanapun, ramai pelayar Weibo tidak mempercayai dakwaan itu kerana Stephen berada dalam keadaan sihat dan dikhabarkan sedang menghasilkan rancangan hiburan (variety) bertajuk The King of Comedy Season.

Baca juga: “Lepas kahwin suami terus berhenti kerja, aku pula kena sara dia, kalau gaduh habis berlebam badan aku…”