Hasil Jualan Rahmah di Negeri Sembilan cecah RM4.5 juta dalam masa 4 bulan – Exco

Oleh MAISARAH AISYA

Umum tahu Jualan Rahmah dilihat sangat membantu rakyat Malaysia terutama dalam keadaan ekonomi yang tidak stabil ini.

Barang berkualiti dijual pada harga lebih murah berbanding di tempat lain dan ini sangat membantu buat mereka dengan bilangan ahli keluarga yang banyak.

Menurut Sinar Harian, program Jualan Rahmah di Negeri Sembilan merekodkan nilai jualan sebanyak RM4.5 juta bagi tempoh bermula Januari sehingga 7 April lepas.

Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, lebih RM1.6 juta telah dibelanjakan untuk subsidi program jualan itu.

Subsidi tersebut memberi manfaat kepada lebih 130,000 orang rakyat di negeri ini.

“Dalam tempoh tersebut, sebanyak 156 Jualan Rahmah telah dilaksanakan di seluruh 36 Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Negeri Sembilan dengan 121 model pelaksanaan dalam premis.

“Selain itu, sembilan pelaksanaan jualan tersebut dilakukan secara terbuka atau premium dan 26 pelaksanaannya secara bergerak,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Suhaimizan Bizar (BN-Gemencheh) berhubung Program Jualan Rahmah di negeri ini.

Pada masa sama, Veerapan memaklumkan tahun lalu, sebanyak 300 Jualan Rahmah telah dilaksanakan di seluruh DUN berkenaan.

Ia dilaksanakan melalui 191 model pelaksanaan dalam premis, lima pelaksanaan secara terbuka dan 104 pelaksanaan secara bergerak.

“Hampir RM2 juta telah dibelanjakan untuk subsidi program berkenaan yang memberi manfaat kepada lebih 600,000 orang rakyat dan jumlah jualan mencecah RM10.8 juta,” katanya.

Baca juga: Malaysia tambah 10 kontena bantuan ke Gaza, peranan PMX bantu lancarkan perjalanan