Rupanya ini punca ADUN Bersatu turun kempen untuk calon PH di PRK Kuala Kubu Bharu

Oleh MALAYSIADATELINE

Kemunculan Bekas Ketua Badan Pimpinan BERSATU Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari dalam kempen kerajaan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bahru, semalam telah mengejutkan ramai pihak.

Mana tidaknya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang yang menyatakan sokongan kepada pentadbiran Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari itu tampil membantu kempen calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao.

Ketika berucap di pentas Ceramah Isu Semasa di sekitar Batang Kali, Abdul Rashid mengakui keputusan membantu Sock Tao dibuat selepas mendapati tiada sebarang peruntukan dalam Perlembagaan Bersatu yang menghalangnya berbuat sedemikian.

Berpendapat bahawa Sock Tao boleh menjadi wakil rakyat yang baik, Abdul Rashid juga menjelaskan bahawa tindakan itu turut didorong dengan pencapaian kerajaan negeri dalam mentadbir Selangor secara berkesan, lapor Berita Harian.

“Saya sudah buat semakan ke atas perlembagaan Bersatu. Tiada apa-apa klausa atau peruntukan menyatakan ahli boleh diambil tindakan jika menyertai ceramah di mana-mana.

“Mereka boleh pecat jika saya keluar daripada parti dan menyokong pihak lain tetapi tiada peruntukan yang menghalang ahli daripada berceramah di mana-mana, sama ada bersama Perpaduan mahupun Bersatu.

“Sebab ini saya berani datang. Saya juga tidak kisah jika Perikatan Nasional (PN) mahu menjadikan kehadiran saya malam ini, sebagai kempen mereka. Silakan, tiada masalah,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Abdul Rashid dalam ceramah tersebut turut memaklumkan bahawa Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi akan ikut membantu kempen Kerajaan Perpaduan di sekitar Kuala Kubu Bharu.

Dalam perkembangan lain, wakil rakyat Bersatu itu memberitahu bahawa pihaknya bersedia menerima keputusan parti berhubung tindakannya menyokong pentadbiran Amirudin namun setakat ini belum menerima sebarang notis mengenainya.

“Katakanlah Lembaga Disiplin (Bersatu) menyatakan saya bersalah dan memecat saya. Mereka cuma boleh pecat keahlian, bukan jawatan ADUN. Kerana, kuasa untuk mengosongkan kerusi ADUN adalah di bawah Yang Dipertua DUN.

“Justeru, mereka (Bersatu) perlu menulis kepada Yang Dipertua untuk meminta saya mengosongkan kerusi, tetapi kalau dikatakan tak boleh, tak bolehlah. Sebab sudah ada duluan kes di Sabah, membabitkan empat ADUN. Lebih kurang macam saya, kes mereka ketika itu dibawa ke mahkamah.

“Hakim kemudian menetapkan bahawa ia bukan bidang kuasa mahkamah, sebaliknya Yang Dipertua DUN. Saya rasa duluan kes di Sabah ini menyebabkan mereka tidak mengutus apa-apa notis kepada saya. Justeru, saya akan meneruskan tugas sebagai ADUN Selat Klang seperti biasa.” Ulasnya.

Terdahulu, Abdul Rashid mengisytiharkan sokongan kepada kepemimpinan Amirudin selepas meneliti ucapan Sultan Selangor yang memuji pentadbiran kerajaan negeri berada di landasan tepat, demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat.

Katanya, langkah tersebut juga diambil susulan beberapa siri tindakan PN, terutama PN Selangor yang didakwa berdiam diri terhadap tohmahan yang dilontar kepada Raja-Raja Melayu.

Baca juga: Masa pinjam tak soal pula pasal solat, individu bengang saudara tak nak bayar hutang RM6k