Kerajaan Thailand buat ‘u-turn’, senarai semula ganja sebagai narkotik akhir tahun ini

Oleh WAN SITI AMINAH

Kerajaan Thailand dijangka akan membuat pusingan U dengan penyenaraian semula ganja sebagai narkotik menjelang akhir tahun ini.

Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Perdana Menterinya, Srettha Thavisin menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di platform media sosial X miliknya, pada Rabu lalu.

Kenyataan tersebut dikeluarkan hanya selepas dua tahun Thailand menjadi negara pertama di benua Asia yang membenarkan penggunaan ganja untuk tujuan rekreasi.

Srettha berkata, langkah itu tetap diteruskan walaupun sektor runcit domestik untuk ganja berjaya merekodkan pertumbuhan pesat sejak dimulakan pada dua tahun lalu.

Kemunculan puluhan ribu perniagaan berasaskan ganja turut mewujudkan industri di Thailand yang diunjurkan bernilai AS$1.2 bilion (RM4.8 billion) menjelang tahun 2025.

Namun Srettha tetap bertegas dan mengarahkan Kementerian Kesihatan negara itu bagi meminda kembali peraturan dan menyenaraikan semula ganja sebagai narkotik.

“Saya mahu kementerian kesihatan meminda peraturan dan menyenaraikan semula ganja sebagai narkotik. Kementerian harus segera mengeluarkan peraturan untuk membenarkan penggunaannya untuk tujuan kesihatan dan perubatan sahaja.

“Dadah adalah masalah yang memusnahkan masa depan negara, ramai anak muda ketagih. Kita kena kerja cepat, rampas aset (pengedar dadah) dan luaskan rawatan.

“Semua pihak harus bekerjasama untuk membanterasnya. Saya memohon agar ada kemajuan yang jelas dilaporkan dalam tempoh 90 hari,” katanya menerusi laman X.

Srettha membuat hantaran itu selepas mempengerusikan mesyuarat dengan Menteri Dalam Negeri Thailand, Anutin Charnvirakul dan Menteri Kesihatan Awam Somsak Thepsutin.

Mesyuarat bagi membincangkan masalah dadah di seluruh Thailand itu turut dihadiri oleh Tawee Sodsong selaku Menteri Kehakiman bersama agensi yang berkenaan.

Terdahulu, Thailand telah ‘menghalalkan’ ganja pada 2022 namun penggunaannya di tempat awam, penjualan kepada kanak-kanak dan wanita hamil telah diharamkan.

Sehubungan dengan itu, Srettha berharap supaya Kementerian Kehakiman, Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik, dan Biro Penindasan Narkotik bekerjasama bagi menutup rangkaian dadah ini.

Baca juga: Capai persetujuan bersama, Terengganu ketepi perbezaan dengan Kerajaan Persekutuan