Seorang lelaki masih mencari jalan untuk menegur sang ayah kerana tidak menjaga batasnya sebagai bapa mentua kepada isteri yang dikasihinya.
Lelaki itu mengakui merasa hairan mengapa bapanya sanggup meninggalkan ibu di rumah untuk berkunjung ke kediaman yang didudukinya bersama isteri dan anak.
Khuatir meninggalkan isteri di rumah bersama bapanya sendiri, berikut perkongsian suami yang berharap dapat menyediakan tempat tinggal selesa di suatu hari nanti.
“Assalamualaikum pembaca yang budiman. Aku berasal dari Utara dan kini menetap di Selatan tanah air. Aku sudah berkahwin dan dikurniakan dengan seorang cahaya mata. Rumah tangga aku baik-baik sahaja walaupun sempat diduga ketika Covid-19 kerana hilang pekerjaan. Alhamdulillah, sekarang aku sudah bekerja di Singapura.
“Aku berulang-alik daripada Johor Bahru. Serba salah nak menulis, tak tahu apakah tindakan yang betul. Aku masih ada mak dan ayah. Tetapi ayah kerap datang rumah aku. Kalau seminggu dua aku tak kisah, tetapi dia datang sampai lapan bulan. Balik Utara satu bulan, selepas itu dia datang semula dan duduk lagi lapan bulan.
“Aku kurang setuju tetapi tak pernah cakap dengan ayah. Dia tinggalkan sahaja isteri di kampung walaupun mak aku itu masih kuat. Aku sudahlah ada isteri. Kasihan dia tak bebas dekat rumah sendiri. Keluarga aku memang kerap datang ke rumah kami. Lebih burukkan keadaan, mereka akan buat kediaman aku macam rumah sendiri.
“Memanglah sayang dekat keluarga besar aku. Tetapi aku rasa macam mereka tak jaga batas. Kami tiada privasi. Aku nak juga ‘dating’ berdua dengan isteri dan anak-anak. Kadang-kadang aku ada kerja diluar, dua ke tiga hari tak balik. Isteri dan anak tinggal di rumah dengan ayah aku sahaja ketika itu.
“Betul, bapa mentua boleh duduk dengan menantu. Tetapi aku rasa tak senang. Aku memang nak beritahu ayah. Tetapi susah nak cakap sebab ayah rasa perkara seperti ini bukan satu masalah. Keluarga aku pula kalau datang terutamanya mak dan adik-beradik (lelaki dan perempuan), mereka selamba masuk bilik kami suami isteri.
“Dalam bilik itu kan privasi kami. Mungkin bagi mereka tiada masalah. Tetapi aku dan isteri? Mestilah kami malu kalau mereka jumpa barang-barang yang privasi. Kasihan betul dekat isteri. Aku tahu dia tak selesa. Aku tahu isteri tak selesa walaupun dia tak pernah kata yang buruk-buruk mengenai keluarga mentuanya.
“Aku pernah membaca definisi sebenar nafkah tempat tinggal isteri. Kesimpulannya, menjadi tanggungjawab suami menyediakan tempat tinggal yang aman, tenteram dan menepati hukum syarak kepada isterinya. Hal ini demi memelihara suasana yang baik dalam rumah tangga dan memastikan kelangsungan hubungan perkahwinan.
“Tempat tinggal yang dimaksudkan ini khusus untuk isteri dan anak-anak. Suami tak boleh menghimpunkan bersama ibu bapa atau kaum kerabatnya kerana khuatir jika perkara tersebut boleh mendatangkan mudarat kepada isteri dan hartanya. Malah ia boleh menjejaskan perhubungan di antara suami dan isteri.
“Namun sekiranya isteri reda untuk dikurangkan haknya dan bersetuju untuk tinggal bersama keluarga suami, maka hal tersebut dibolehkan. Dengan syarat, hendaklah diusahakan agar tidak timbul masalah dan mudarat antara isteri dan keluarga suami. Sebaliknya jika isteri tak reda maka suami wajib menyediakan tempat tinggal lain.
“Tempat tinggal yang disediakan oleh sang suami ini haruslah selesa untuk isterinya seperti di rumah keluarganya sendiri atau sebagainya. Sekian dari aku, Yang Tersepit (Bukan nama sebenar).” Kongsi lelaki berkenaan menerusi satu hantaran tular menerusi satu forum di atas talian.
Baca juga: Pilih berkawan selepas bercerai, Datuk Red reda Adira tak mahu rujuk semula