Isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak iaitu Datin Seri Rosmah Mansur berdepan dengan tuntutan saman oleh pihak 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 10 syarikat lain termasuk anak syarikatnya.
Saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu menuntut Rosmah untuk mengembalikan barangan mewah berjumlah AS$346 juta (lebih RM1.6 bilion) didakwa dibeli menggunakan dana yang diseleweng dari syarikat terbabit.
Oleh yang demikian, kesemua syarikat terlibat bertindak selaku plaintif menuntut Rosmah untuk membayar AS$346,010,489 atau sejumlah amaun yang ditaksirkan oleh Mahkamah Tinggi, lapor Harian Metro.
Plaintif mendakwa barangan mewah di antaranya ribuan item berjenama melibatkan barang kemas, jam tangan dan beg tangan dibeli oleh atau untuk Rosmah menggunakan dana yang diselewengkan daripada anak syarikat 1MDB, bukan dengan wang sendiri.
Kesemua plaintif ialah 1MDB Energy Holdings Limited; 1MDB Energy Limited; 1MDB Energy (Langat) Limited; Global Diversified Investment Company Limited; SRC International Sdn Bhd; Affinity Equity International Partners Limited; Alsen Chance Holdings Limited; Blackrock Commodities (Global) Limited; Blackstone Asia Real Estate Partners Limited dan Brightstone Jewellery Limited.
Jelasnya, dana tersebut disalurkan melalui pelbagai jenis entiti luar pesisir termasuk Affinity Equity, Alsen Chance, Blackrock, Blackstone dan Brightstone sebelum dibayar kepada 48 vendor berbeza daripada 14 bidang kuasa.
Dipercayai sebanyak 320 pembayaran berjumlah AS$346,010,489 telah dilakukan untuk tujuan pembelian barangan mewah berkenaan menggunakan dana diseleweng daripada plaintif terlibat.
Blackrock dan Blackstone adalah syarikat luar pesisir yang dikaitkan dengan sekutu ahli perniagaan dalam buruan pihak berkuasa, Low Taek Jho atau Jho Low, iaitu Eric Tan.
Sehubungan itu, plaintif pertama hingga keenam menuntut pengisytiharan bahawa 1MDB dan lima anak syarikatnya mempunyai kepentingan proprietari berekuiti atau kepentingan benefisial terhadap barangan mewah yang dikesan di dalam pemilikan Rosmah.
Plaintif juga memohon pengisytiharan bahawa Rosmah memegang barangan mewah berkenaan dan hasilnya yang dapat dikesan atas amanah konstruktif bagi 1MDB dan anak syarikatnya.
Mereka turut menuntut deklarasi bahawa 1MDB dan anak syarikatnya berhak untuk mengesan barangan mewah itu selain perisytiharan bahawa Rosmah bertanggungjawab kepada plaintif selaku pemegang amanah konstruktif barangan berkenaan.
Bukan itu sahaja, kesemua plaintif juga memohon ganti rugi pampasan berekuiti, ganti rugi keterlaluan dan ganti rugi teladan untuk ditaksirkan oleh mahkamah.
Dalam tuntutan tersebut, kesemua plaintif menamakan isteri bekas Perdana Menteri terbabit bersama seorang lagi wanita iaitu Shabnam Naraindas Daswani atau lebih dikenali sebagai Natasha Mirpuri sebagai defendan pertama dan kedua.
Baca juga: Mangsa pokok tumbang kongsi rakaman ‘dashcam’ detik-detik pokok tua hancurkan kereta