Insiden bom makin banyak, Polis Kelantan nasihat tak perlu ke Thailand tanpa urusan penting

Oleh MAISARAH AISYA

Isu letupan bom di Thailand bukanlah perkara baru, ia dikatakan sering berlaku di kawasan kampung namun kini semakin menular ke bandar.

Umum tahu rakyat Malaysia memilih bercuti di negara tersebut, kerana makanan yang sedap dan boleh membeli-belah dengan kadar lebih murah.

Namun disebabkan kejadian bom tersebut, Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun menasihati agar orang ramai menangguhkan percutian ke sana.

Menurut Sinar Harian, beliau menegaskan bahawa mereka yang ke sana atas urusan penting diingatkan untuk sentiasa berjaga-jaga.

“Tangguh dulu ke Thailand jika tiada urusan penting.

“Sebelum ini insiden itu (letupan bom) berlaku di sekitar kawasan kampung sahaja, namun ia sudah menular sehingga ke bandar serta kawasan tumpuan ramai.

“Jadi kita bimbang berada di tempat yang salah pada waktu yang salah,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Perlu sentiasa berhati-hati

Dalam keseronokan bercuti, beliau berharap rakyat Malaysia perlu berhati-hati ketika berada di kawasan terbuka.

Sebelum ini media melaporkan, dua rakyat Malaysia antara lapan individu yang mengalami kecederaan dalam kejadian letupan bom.

Kejadian tersebut dikatakan berlaku di Jalan Phu Pha Phakdi, Daerah Mueang, Wilayah Narathiwat pada Isnin.

Bagaimanapun, kesemua mangsa berusia antara 20 hingga 30-an hanya mengalami kecederaan ringan.

Baca juga: Rosmah disaman 11 syarikat termasuk 1MDB, tuntut kembali barangan mewah RM1.6 bilion