Anwar ingatkan ahli PKR tak alpa dengan ‘kuasa’ bila jadi pemerintah

Oleh MAISARAH AISYA

Satu jawatan pastinya datang dengan ‘kuasa’, tidak kira kecil atau besar, jika salah orang yang memegangnya maka boleh menyebabkan kejatuhan.

Disebabkan itu, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua ahli parti terutama generasi muda supaya menghayati perjuangan parti.

Pada masa sama beliau mengingatkan generasi muda untuk tidak alpa dengan ‘kuasa’ yang dimiliki apabila menjadi pemerintah.

Memetik Bernama, Anwar memaklumkan bakat pemimpin muda perlu digilap dan bersedia untuk meneruskan perjuangan PKR.

Ini adalah kerana ramai individu yang mengasaskan parti itu termasuk Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta rakan-rakannya semakin berusia dan ada antara mereka sudah uzur.

Pada masa sama, Anwar berkata generasi muda tidak harus melupakan dasar perjuangan parti selama 25 tahun sejak penubuhan PKR.

“Mereka ini berjuang tanpa habuan, tanpa kedudukan tapi semata-mata demi pengorbanan. Saya harap generasi baharu tidak akan melupakan jasa mereka.

“Sepertimana saya selalu sebut, kuasa itu mampu memukau, kuasa itu suatu yang gemerlapan.

“Maka ingat tentang asas perjuangan, jangan guna kuasa untuk menimbun harta, jangan guna kuasa untuk hilangkan idealisme bahawa kita pegang amanah untuk melakukan perubahan,” katanya seperti dipetik Bernama.

Dalam pada itu, Anwar memaklumkan sebagai parti dlama Kerajaan Perpaduan, mereka akan tetap memperjuang dasar dan hak rakyat biarpun PKR ‘diserang’ dengan pelbagai tohmahan oleh pihak pembangkang

“Kita lihat umpamanya kempen PRK KKB (Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Baharu), isu ini terus dimainkan.

“Mana boleh di Malaysia majoriti Islam, perwakilan di Parlimen Islam tapi nak nafikan hak (kaum) Cina, India, Dayak atau Iban, Kadazan untuk tetap diwakili.

“Saya nak beritahu Keadilan (PKR) akan tetap pertahan Perlembagaan serta negara ini supaya aman dan setiap suku kaum mesti dapat perwakilan (hak) yang adil,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Perpaduan akan terus mendukung hak Melayu dan Bumiputera secara adil dan tidak akan berganjak dengan serangan berbentuk sentimen perkauman yang sempit.

Baca juga: PN belum bincang siapa jadi PM kalau menang PRU16, mahu fokus PRK Kuala Kubu Baharu