Isu gaji dan kebajikan jururawat, Menteri Kesihatan minta waktu, akan cari jalan penyelesaian

Oleh MAISARAH AISYA

Bukan senang untuk menjadi jururawat, waktu banyak dihabiskan di tempat kerja hingga kadang-kadang sukar bertemu keluarga.

Sudah bertahun isu mengenai gaji dan kebajikan menjadi topik perbincangan dalam kalangan mereka namun tiada seorang yang ambil peduli.

Kini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menzahirkan komitmen beliau untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi golongan jururawat di negara ini.

Tambah Dr Dzulkefly, fokus utama adalah membabitkan isu gaji dan kebajikan jururawat di Malaysia.

Beliau berkata kerjaya jururawat adalah tulang belakang dalam memastikan kelancaran sistem perkhidmatan kesihatan kepada seluruh rakyat.

“Selaku Menteri Kesihatan, saya sangat sedar, insaf dan amat empati terhadap pelbagai masalah profesion ini.

“Ini adalah termasuk gaji, saraan, kerjaya, kebajikan serta tugasan yang masih belum tuntas diselesaikan.

“Saya komited untuk tangani semua ini… berikan saya sedikit waktu,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Pada masa sama Dr Dzulkefly turut mengucapkan penghargaan kepada seluruh warga kejururawatan di Malaysia khususnya di Kementerian Kesihatan.

Malah beliau turut berharap supaya jururawat di Malaysia terus maju dan berjaya dalam menjalankan amanah mulia itu.

Baca juga: Pencarum jangan seronok dulu, KWSP umum ada had keluarkan duit akaun 3