Baru 2 bulan jalani pemindahan, pesakit pertama terima buah pinggang babi meninggal dunia

Oleh WAN SITI AMINAH

Manusia pertama yang menerima pemindahan organ buah pinggang daripada babi dilaporkan meninggal dunia selepas dua bulan menjalani pembedahan.

Difahamkan, pesakit dikenali sebagai Richard ‘Rick’ Slayman itu menghidap penyakit buah pinggang peringkat akhir sebelum menjalani pembedahan tersebut, Mac lalu.

Menerusi sesi pembedahan di Hospital Besar Massachusetts, Washington itu, pesakit berusia 62 tahun berkenaan menerima organ yang telah diubah suai secara genetik.

Pengubahsuaian itu dilakukan sebuah syarikat bioteknologi Massachusetts, eGenesis dengan membuang gen babi berbahaya dan juga menambah gen manusia tertentu.

Selepas menerima pemindahan organ babi pada 16 Mac lalu, doktor yang merawat Slayman mengesahkan lelaki berkenaan tidak perlu lagi memerlukan rawatan dialisis.

Organ baharu itu dikatakan berfungsi dengan baik malah pemindahan organ ke atas Slayman dianggap sebagai peristiwa bersejarah dalam dunia perubatan, lapor BBC.

Hospital Besar Massachusetts bagaimanapun mengakui pihaknya sangat bersedih dengan kematian mengejut Slayman dan mengucapkan takziah kepada keluarganya.

Pihak hospital bagaimanapun tidak menemui petunjuk sekiranya pemergian Slayman itu adalah disebabkan proses pemindahan buah pinggang dijalaninya baru-baru ini.

“Slayman selamanya akan dilihat sebagai satu bentuk pengharapan kepada pesakit yang memerlukan pemindahan organ tidak terkira banyaknya di seluruh dunia ini.

“Kami amat berterima kasih di atas kepercayaan dan juga kesanggupan beliau untuk memajukan bidang xenotransplantasi (pemindahan berlainan spesis),” kata pihak hospital memetik laporan BBC.

Slayman yang turut menghidapi kencing manis Jenis 2 dan tekanan darah tinggi itu pernah menerima buah pinggang manusia pada 2018 namun organ berkenaan mulai gagal berfungsi selepas lima tahun.

Meskipun Slayman adalah manusia pertama menerima buah pinggang babi, namun organ haiwan itu bukanlah kali pertama digunakan di dalam prosedur pemindahan.

Sebelum ini, dua pesakit lain pernah menjalani pemindahan jantung babi namun prosedur itu dianggap tidak berjaya kerana mereka meninggal dunia beberapa minggu kemudian.

Baca juga: Bukan biasa-biasa, negara ini sahaja guna Rolls-Royce RM1.2 juta sebagai kereta polis