Usahawan kontroversi, Datuk Seri Aliff Syukri membuat keputusan untuk berhenti daripada dunia nyanyian.
Kata suami kepada Datin Shahida itu, ini adalah tahun terakhirnya sebagai penyanyi selain menyifatkan 2024 sebagai tahun paling malang buatnya.
Ia berikutan Aliff mendakwa bahawa setiap gerak gerinya sering dikritik yang sedikit sebanyak memberi penyesalan kepadanya.
“Tahun ini adalah tahun terakhir saya sebagai penyanyi. Tahun ini adalah tahun paling ‘suwey’ (malang).
“Setiap gerak geri saya dikritik, bahkan, kes baru-baru ini juga masih dalam siasatan. Sedikit sebanyak, ia memberi tekanan dan penyesalan kepada saya. Jadi, saya tarik diri dan reda,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Menurutnya, emosinya tercalar walaupun dia sedaya upaya menutup masalahnya.
“Anda tahu mengenai kes saman saya? Ia tak mudah. Saya cuba tutup masalah saya, tapi, dalam keadaan ekonomi sekarang, sedikit sebanyak ia mencabar dan emosi saya tercalar,” katanya.
Aliff juga sudah berputus asa dan ingin membuka peluang kepada artis-artis baharu (BBNU) untuk menyerlah.
“Tapi, janganlah kerana tak ada lagu, anda lupakan saya. Berilah BBNU baru untuk naik pula.
“Saya sampai bergaduh suami isteri dan bukan gimik. Jujurnya, saya dah putus asa. Mungkin saya dibenci sebagai penyanyi,” kata Aliff.
Terdahulu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) merakam percakapan usahawan, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman di Ibu Pejabat SKMM di Cyberjaya, pada awal April lalu.
Rakaman percakapan ini adalah susulan aduan yang diterima oleh SKMM berhubung kandungan video teaser Hari Raya yang dimuat naik usahawan kosmetik berkenaan.
Seterusnya, telefon bimbit dan kad sim miliknya disita dan dihantar ke Unit Forensik untuk siasatan lanjut.
Baca juga: Lelaki menyesal tak bawa kad pengenalan keluar rumah, ‘merasa’ duduk lokap 4 hari