Baru tahu sabun pencuci pinggan boleh bersihkan tandas, lebih berkilat dan jimat!

Oleh WAN SITI AMINAH

Siapa sangka, permukaan jubin di dalam tandas akan kelihatan lebih bersinar sekiranya dibersihkan dengan menggunakan sabun pencuci pinggan.

Kaedah ini juga dikatakan mampu menjimatkan wang berikutan harga sabun pencuci pinggan yang berada di pasaran lebih murah berbanding cairan pembersih tandas.

Berjaya mencuri perhatian ramai, panduan untuk membersihkan jubin dalam tandas menggunakan pencuci pinggan ini dikongsi oleh lelaki dikenali sebagai Danial Zain.

Menerusi satu perkongsian di kumpulan Facebook iaitu Tukang Apa Hari ini, Danial memaklumkan bahawa ilmu tersebut diperolehi daripada pengalamannya sendiri.

Jelas Daniel, cairan pembersih tandas akan menyebabkan permukaan jubin di dalam bilik air menjadi lebih kesat malah lantai atau dindingnya juga mudah kotor semula.

“Berdasarkan pengalaman aku sebelum ini yang telah menggunakan pelbagai jenis dan jenama cecair pembersih tandas. Aku sedar, lama-lama jubin akan menjadi lebih kesat dan cepat kotor balik. 

“Pelik kan. Tetapi selepas menyelam (mengkaji) sedikit, aku cuba pula pakai sabun pencuci pinggan. Jenama ikut pilihan masing-masing. Aku pilih pencuci yang mudah didapati di kedai serbaneka 99 Speedmart.

“Memang tak pakai sabun pencuci tandas selepas ini. Jimat juga sebabnya sabun pencuci tandas ini kadang-kadang harganya mahal. Sabun pencuci pinggan pula berapa sen sangatlah,” katanya.

Menurut Danial, kaedah tersebut menjadikan jubin tandasnya kelihatan lebih bersih malah kotoran atau kulat juga akan mengambil masa panjang untuk timbul semula.

Sempat berseloroh ekoran tiada pautan produk pencuci dan tidak menerima bayaran komisen, Daniel bagaimanapun berharap perkongsian itu dapat memberi manfaat.

“Selepas pakai sabun pencuci pinggan, lantai kamu semua akan rasa sangat bersih! Kulat atau kotoran juga lambat naik. Tetapi kena sental juga ketika bersihkan. Yang penting, jubin tak rosak. Sangsi? Cubalah sendiri.

“Semoga perkongsian ini bermanfaat kepada pembaca. Aku juga tak diberi komisen dari mana-mana pihak. Jadi tak boleh bagi pautan produk. Pandai-pandailah kamu semua cari sendiri.” Seloroh pemuda itu.

Baca juga: Awas! Jangan laminate geran tanah, boleh dikategori sebagai rosak