Motosikal musnah akibat kebakaran, Anwar hulur sumbangan kepada pelajar UniMAP

Oleh WAN SITI AMINAH

Insiden kebakaran di aras bawah Blok B, Kompleks Perumahan Pauh Putra Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pada Sabtu lalu turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Atas dasar keprihatinan, Anwar mengambil inisiatif untuk menyampaikan sumbangan kepada pelajar khususnya terhadap mereka yang terkesan akibat daripada kejadian kebakaran tersebut.

Perkara itu dimaklumkan Anwar yang kini berada di Republik Kyrgyz dalam kerangka lawatan rasmi ke Asia Tengah menerusi satu hantaran dimuat naik di akaun Facebook miliknya pada Rabu.

Anwar dalam perkongsian tersebut memberitahu bahawa sumbangan kewangan itu disampaikan melalui wakil iaitu Setiausaha Politiknya, Muhammad Kamil Abdul Munim, semalam.

“Saudara Kamil Munim telah menyalurkan bantuan bagi pihak saya kepada para pelajar yang terlibat dalam insiden kebakaran di aras bawah Blok B, Kompleks Perumahan Pauh Putra, UniMAP.

“Mendoakan semoga semua yang terlibat tabah hadapi dugaan ini dan kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan Tinggi akan memberi bantuan sewajarnya. Insya-Allah,” katanya dalam hantaran tersebut.

Terdahulu, sebanyak 26 motosikal musnah manakala 10 lagi mengalami kerosakan kecil selepas kawasan parkir asrama lelaki UniMAP terbakar dalam kejadian yang berlaku pada 11 Mei lalu.

Sebuah jentera bomba telah dikerahkan ke lokasi kejadian susulan laporan dibuat dengan kekuatan enam anggota yang diketuai Komander Operasi, Megat Zairilnizam Ahmad.

Malangnya semasa pihak bomba tiba, difahamkan sebanyak 36 buah motosikal telah terbakar 90 peratus namun api bagaimanapun berjaya dikawal pada pukul 3.13 pagi.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 4.42 pagi sebelum sebuah kereta peronda digerakkan ke lokasi untuk tujuan siasatan.

Baca juga: Siapa dah terlajak kongsi baki akaun baik padam segera, KWSP keluar amaran bahaya besar menanti