Gaji pemotong rumput di Malaysia boleh cecah RM6,000 sebulan, macam tak logik tapi ia benar

Oleh KIM SYAZIE

Di kala ramai anak muda berlumba mengharapkan kerja di pejabat yang berhawa dingin, ramai yang tidak sedar pekerjaan sebagai pemotong rumput sebenarnya boleh meraih sehingga RM6,000 sebulan.

Dengar macam tidak logik, tapi ia sebenarnya bergantung kepada kerajinan dan rezeki. Modalnya hanyalah keringat.

Menurut perkongsian ditulis Merak Jalanan di Sinar Harian, dia baru-baru ini terbaca di media sosial mengenai gaji seorang pemotong rumput yang boleh mencecah angka RM6,000.

Kiraannya mudah, upah bagi seorang pemotong rumput dianggarkan dalam RM100 bagi satu kawasan yang standard. 

Katakanlah dalam sehari dapat tiga buah rumah. RM100 didarab dengan tiga, jumlahnya ialah RM300.

Kemudian didarab lagi dengan anggaran 20 hari bekerja, maka jumlahnya ialah RM6,000. Betulkan? Tidak mustahil gaji boleh cecah empat angka.

Pun begitu, pasti akan ada yang bersuara, bukan mudah nak dapat tiga buah rumah dalam sehari secara konsisten. 

Mungkin satu hari tiada langsung jumpa rumah yang rumputnya sudah panjang.

Itu tidak dinafikan, tetapi bayangkanlah jika seorang pemotong rumput itu berjaya mendapatkan 60 buah rumah sebulan yang menjadi pelanggannya secara tetap.

Tapi, apa yang Merak Jalanan nak ulas ialah sikap sesetengah orang kita yang mungkin memandang sebelah mata pekerjaan seperti itu.

Sedangkan kerja rencam seperti inilah yang lebih banyak dikejar warga-warga asing.

Tukang gunting rambut, tukang jahit, tukang paip, tukang buat rumah dan banyak lagi semuanya sudah dipelopori warga asing. Gaji mereka lebih besar berbanding eksekutif di syarikat swasta.

Ironisnya, anak-anak muda kita masih lagi mengeluh nak gaji banyak tapi tak mahu kerja lebih.

Ada sesetengah pula masih mengharapkan kerja di pejabat yang berhawa dingin dan lengkap bertali leher.

Baca juga: “Aku tidur dengan teman lelaki sampai mengandung, bila ajak kahwin dia tolak, rupanya dia suami orang”