“Sekarang kan dah bergaduh sesama bangsa sendiri”, Scha Alyahya tak berdiam diri lepas rakan selebriti diugut

Oleh KIM SYAZIE

Pelakon Scha Alyahya tidak berdiam diri selepas ada rakan selebriti yang menerima ugutan daripada kumpulan yang menggerakkan Blockout 2024.

Gerakan itu mengajak warga global menyekat akaun media sosial pempengaruh yang membisu, termasuk menjadi duta produk Israel.

Untuk rekod Scha juga terkesan dengan kempen yang digerakkan selepas dilaporkan ehilangan lebih 100,000 pengikut Instagram.

Pengikutnya merosot kepada 6.5 juta apabila netizen mula menyahikut dan menyekat media sosialnya.

Begitupun, Scha berasa kurang setuju dengan pendekatan sebilangan peminat yang bertindak membuta tuli dengan gerakan Blockout 2024 sehingga bergaduh sesama sendiri.

“Fitnah-memfitnah, permusuhan, dengki-mendengki dan mewujudkan persepsi buruk. Itulah realitinya.

“Kalau niat baik, realisasikan dengan cara atau amalan yang betul. Jangan bersikap personal (peribadi),” katanya menerusi Instagram.

Pelakon kelahiran Sungai Petani, Kedah itu juga berasa kesal dengan bangsa Melayu yang begitu mudah ingin menjatuhkan sesama sendiri.

“Sekarang kan dah bergaduh sesama bangsa sendiri. Ugut sana sini.

“Periksa hati masing-masing sebab saya pun takkan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sama bila berada di situasi sama sebegini,” tambahnya.

Baru-baru ini, nama isteri kepada aktor Awal Ashaari itu disenaraikan dalam gerakan Blockout 2024 selepas didakwa tidak peka dengan nasib rakyat Palestin apabila mempromosikan jenama penyokong Israel.

Selain Scha, suaminya turut menjadi sasaran netizen bersama beberapa selebriti lain termasuk Nadhir Nasar, Nabila Razali, Mira Filzah, Siti Saleha dan Neelofa.

Selepas itu, Scha tampil menegaskan bahawa tiada siapa berhak menghukum pekerjaan dan rezeki seseorang sehingga perlu menghamburkan caci maki bertalu-talu.

Dia juga percaya tiada kuasa untuk menolak rezeki yang telah ditetapkan untuk dirinya.

Baca juga: Ingat dekat luar negara, insiden ‘rider’ cedera kena benang rupanya berlaku di SUKE