Bekas pegawai kementerian dipenjara 10 tahun, nodai 6 wanita lepas letak ubat tidur dalam minuman

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang bekas pegawai kementerian akhirnya dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun selepas didapati bersalah mencabul kehormatan enam wanita pada tahun lalu.

Difahamkan, tertuduh yang merupakan lelaki berumur 34 tahun itu akan meletakkan pil tidur dalam minuman sebelum menodai mangsa terbabit di hotel atau kafe siber.

Daripada enam mangsa, dua wanita telah diperkosa oleh tertuduh dikenali sebagai Dai Sato itu manakala percubaan atas empat yang lain gagal ekoran terlalu ‘khayal’.

Sato telah melakukan jenayah sebanyak tujuh kali dari Julai hingga Disember 2022, termasuk dua kali cubaan memperkosa dan menyerang ke atas mangsa yang sama.

Sehubungan itu, Mahkamah Daerah Tokyo pada Isnin lalu menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun kepada bekas pegawai Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun tersebut.

Tertuduh telah dipecat daripada kementerian berkenaan atas kesalahan tatatertib sejurus mengaku bersalah dalam prosiding mahkamah pertamanya pada tahun lalu.

Ketua Hakim, Yoshihisa Nakao menyifatkan perbuatan Sato sebagai berbahaya dan tindakan yang tidak berperikemanusiaan tanpa menghiraukan maruah mangsanya.

Malah segala penjelasan yang diberikan oleh Sato langsung tidak mewajarkan lelaki berkenaan melakukan jenayah terhadap enam mangsa terlibat, lapor Japan Times.

“Ketegangan emosi yang oleh dialami mangsa, termasuklah perasaan jijik dan cemas adalah sesuatu yang amat serius. Defendan memberikan pelbagai jenis alasan untuk menjelaskan motifnya.

“Namun selepas mengambil kira kenyataan daripada defendan, tiada apa-apa untuk mewajarkan tindakannya yang mementingkan diri sendiri ini,” jelas Ketua Hakim memetik laporan Japan Times.

Terdahulu, pihak pendakwa raya telah memohon supaya mahkamah menambahkan hukuman penjara terhadap bekas pegawai kementerian berkenaan kepada 13 tahun.

Mahkamah bagaimanapun mengekalkan tempoh 10 tahun ekoran Sato tidak memiliki rekod jenayah terdahulu selain penyesalan yang ditonjolkannya terhadap mangsa.

Defendan telah membayar pampasan kepada lima mangsanya dengan tiga daripada mereka telah mencapai penyelesaian dan dua wanita lain juga telah memaafkannya. 

Manakala baki seorang mangsanya pula enggan menyelesaikan kes tersebut tanpa perbicaraan.

Baca juga: “Jijik! Tergamak dia curang dengan cikgu taska anak sendiri, bila minta cerai mulalah keluar air mata jantan”