Baru tahu dua pelajar IPT ditahan susulan serangan di Balai Ulu Tiram, polis dedah kronologi kejadian

Oleh WAN SITI AMINAH

Dua pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) ditahan kerana disyaki ada kaitan dengan serangan yang mengorbankan dua anggota di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru, awal pagi tadi.

Hal ini berikutan serangan pada pukul 2.54 pagi itu berlaku tidak lama selepas dua pelajar IPT terbabit hadir ke balai polis berkenaan bagi membuat laporan berhubung kes cabul.

Difahamkan, pelajar lelaki berusia 22 tahun dan pelajar perempuan berumur 21 tahun itu hadir ke balai polis tersebut untuk melaporkan kes cabul yang berlaku pada dua tahun lalu.

Tidak lama kemudian, suspek yang kini sudah ditembak mati masuk ke dalam kawasan balai dengan menaiki motosikal sebelum menyerang dan merampas senjata api anggota polis.

Mengejutkan, perkara itu didedahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang turut memaklumkan bahawa satu siasatan rapi akan dijalankan ke atas dua pelajar berkenaan, lapor Berita Harian.

“Mereka ditahan untuk siasatan lanjut (sekiranya ada) kaitan dengan serangan itu. Adalah tidak logik untuk melaporkan kes cabul dua tahun lalu pada pukul 2.30 pagi.

“Ketika laporan sedang dibuat pula, tiba-tiba balai diserang. Jadi kita akan siasat dengan rapi dua pelajar berkenaan,” jelas Razaruddin memetik laporan Berita Harian.

Dalam perkembangan terbaharu, pihak polis memaklumkan suspek yang merupakan seorang lelaki berusia 21 tahun itu mempunyai kaitan rapat dengan gerakan Jemaah Islamiyah (JI).

Suspek yang telah melakukan persediaan rapi dengan memakai pelindung badan itu dipercayai menyerang Balai Polis Ulu Tiram dengan tujuan untuk merampas senjata api.

Mungkin mempunyai agenda tersendiri, lelaki itu menggunakan sejenis beg sebagai pelindung yang dilengkapi dengan zink, kertas dan kain, dipercayai persediaan untuk bertempur dengan polis.

Penilaian dibuat selepas pasukan polis melakukan serbuan di rumah suspek di Ulu Tiram dan pemeriksaan mendapati ada beberapa maklumat berkaitan kumpulan Jl dalam kediaman itu.

Lima ahli keluarga lelaki terbabit yang berusia 19 hingga 62 tahun turut ditahan oleh pihak polis dalam serbuan tersebut untuk membantu siasatan berhubung kejadian serangan berkenaan.

Sementara itu, dua anggota polis dan suspek yang maut dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI), manakala anggota yang mengalami kecederaan turut menerima rawatan di hospital sama.

Ketika kejadian berlaku, suspek dikatakan terlebih dahulu menyerang dua anggota polis yang bertugas dan merampas dua laras senjata sebelum melepaskan dua das tembakan.

Tembakan tersebut terkena anggota yang menyebabkan kecederaan pada bahu serta perut manakala seorang lagi anggota ditetak pada belakang leher dan kepala.

Berikut kronologi kejadian yang didedahkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain;

● 2.30 pagi: Dua pelajar IPT, lelaki dan perempuan hadir ke balai untuk membuat laporan polis mengenai kes cabul yang sudah berlaku dua tahun lalu.

● 2.35 pagi: Ketika dua pelajar berkenaan sedang membuat laporan polis, suspek masuk ke kawasan balai dengan motosikal dan terus ke bahagian belakang balai.

● Seorang anggota polis pergi ke bahagian belakang balai untuk memeriksa, tetapi diserang dan ditetak mati oleh suspek. Suspek kemudian merampas senjata api anggota berkenaan.

● Dua anggota polis dimaklumkan mengenai serangan itu bergerak ke belakang balai memeriksa dan berlaku tembak menembak dengan suspek.

● 2.54 pagi: Seorang daripada anggota polis berkenaan maut terkena tembakan pada bahagian pipi yang tembus kepala. Seorang lagi anggota berjaya menembak mati suspek.

Baca juga: Dr Akmal selesai isu dalam masa 24 jam, netizen perli mana hilang ‘ustaz JAIM’