Kementerian pecat ketua jabatan, kantoi ajak Youtuber Korea Selatan ‘singgah’ hotel

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang ketua jabatan di sebuah agensi kerajaan dipecat selepas satu rakaman memaparkan dirinya mengundang wanita warga asing ke hotel tular di media sosial.

Rupa-rupanya, wanita jelita yang dipelawa tersebut bukanlah gadis biasa sebaliknya seorang pencipta kandungan popular di Youtube berasal daripada Korea Selatan.

Wanita yang dikenali sebagai Jiah itu difahamkan sedang melancong dan merakam kandungan berbentuk ‘vlog’ ketika makan bersendirian di dalam sebuah restoran.

Berdasarkan vlog dimuat naik di Youtube, Jiah kemudian didekati oleh dua lelaki berusia di mana salah seorang dari mereka memperkenalkan dirinya sebagai Albert.

Lelaki yang mengaku namanya Albert itu kemudian mempelawa Jiah mengikutnya ke hotel namun wanita terbabit terus menolak dengan alasan mempunyai urusan lain.

Selepas rakaman itu tular, beberapa pengguna media sosial tampil membongkarkan identiti sebenar Albert yang merupakan seorang ketua jabatan di satu kementerian.

Pihak Kementerian Pengangkutan Indonesia (KEMENHUB) kemudian mengesahkan bahawa Albert merupakan kakitangan mereka yang dikenali sebagai Asri Damuna.

Asri adalah ketua jabatan di Unit Penyelenggara Lapangan Terbang (UPBU) Sangia Nibandera Kolaka, Sulawesi Tenggara yang berada di bawah seliaan KEMENHUB.

Jurucakap KEMENHUB iaitu Adita Irawati bagaimanapun memaklumkan bahawa Asri telah dipecat susulan rakaman tersebut tular di media sosial, lapor CNBC Indonesia.

“Kementerian Pengangkutan begitu kesal dengan video tular yang melibatkan Ketua Jabatan UPBU Sangia Nibandera Kolaka iaitu Asri Damuna. Beliau dipecat supaya siasatan dan tindakan lanjut dijalankan dengan lebih adil.

“Jika terbukti benar, mereka yang terlibat bersalah kerana tidak menjaga maruah sebagai penjawat awam. Kemungkinan akan ada tindakan dalaman dikenakan berhubung isu tersebut,” kata Adita memetik laporan CNBC Indonesia.

Terdahulu, bekas ketua jabatan UPBU terbabit tampil untuk membela diri dalam sesi temu bual bersama sebuah stesen televisyen tempatan setelah dikecam orang ramai.

Asri yang sudah berkeluarga itu mendakwa bahawa Jiah dahulu yang bertanya lokasi penginapannya sebelum mempelawa Youtuber berkenaan untuk singgah ke hotelnya.

“Selepas makan, dia tanya abang menginap dekat mana. Saya katalah menginap di hotel depan Swiss-Bel, kalau nak singgah dipersilakan datang. Tetapi rakaman yang beredar sekarang sudah disunting, banyak yang dibuang.” Dakwanya.

Sekadar info, kejadian itu berlaku di Indonesia ketika Jiah yang boleh berkomunikasi dalam bahasa Indonesia itu melancong ke negara tersebut.

Baca juga: “Dah mahal, masin pula” – Individu terkejut habis hampir RM1.7k dekat restoran biasa