Anak bongsu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Nurul Hana menerima tepukan gemuruh dalam majlis graduasinya di New York University (NYU), Amerika Syarikat, baru-baru ini.
Tepukan tersebut diberikan selepas Nurul Hana naik ke pentas bersama kain rentang yang tertera perkataan ‘Free Palestine’ sebagai tanda solidariti menuntut kebebasan masyarakat ditindas Israel itu.
Nurul Hana dalam majlis tersebut turut menggayakan Kefiyyeh bersama ‘topi mortar’ miliknya ketika naik ke pentas untuk menerima skrol tamat pengajian sempena majlis graduasinya universiti berkenaan.
Video yang merakamkan aksi Hana itu dikongsikan Perdana Menteri sendiri menerusi satu hantaran di akaun media sosial X (dahulunya dikenali sebagai Twitter) miliknya, pada Jumaat lalu.
Dalam hantaran sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan itu mengambil peluang mengucapkan tahniah kepada Nurul Hana sebagai tanda penghargaan terhadap pencapaian anak bongsunya.
“Sekalung tahniah buat anak bongsu saya, Nurul Hana yang bergraduasi dari New York University (NYU). Hana juga nyatakan solidariti bersama rakyat Palestin,” ciapnya.
Setakat artikel ini ditulis, perkongsian Anwar itu telah berjaya mendapatkan tontonan lebih daripada setengah juta dan 9,603 tanda suka oleh pengguna platform X.
Tinjauan mendapati rata-rata pengguna berkongsi rasa gembira dan mengucapkan tahniah kepada anak bongsu Perdana Menteri itu di atas kejayaannya menamatkan pengajian di luar negara.
Ramai juga pelayar X turut meluahkan kekaguman mereka dengan keberanian Nurul Hana menyatakan solidariti buat Palestin di negara yang banyak menghulurkan bantuan kepada Israel itu.
“Terbaik. Bak kata pepatah, bapa borek anak rintik. Anak mengikut kebijaksanaan bapanya,” kata seorang pengguna yang turut terharu dengan tindakan Nurul Hana.
“Bangga dengannya. Anda berjaya membesarkan seorang warganegara yang bertanggungjawab dalam dirinya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim.” Kongsi pengguna lain.
Baca juga: Arab Saudi kejutkan dunia, adakan pertunjukan fesyen pakaian renang buat pertama kali