Ejen hartanah jual rumah di Nilai tapi ‘claim’ berhampiran KLCC, “jarak 59 kilometer je”

Oleh KIM SYAZIE

Sebuah iklan rumah yang dimuat naik seorang ejen hartanah menarik perhatian ramai setelah mengiklankan rumah yang dikatakan berhampiran dengan mercu tanda Kuala Lumpur iaitu KLCC.

Menerusi laman Facebook Rumah Bawah RM300k, ejen hartanah menguar-uarkan sebuah rumah teres satu tingkat untuk dijual dengan harga RM160,000.

Namun kapsyen seterusnya yang tertulis bahawa rumah itu berhampiran KLCC bukan sahaja mengundang rasa geli hati, bahkan turut menyebabkan ramai meninggalkan komen sinis.

“Owner (pemilik rumah) turunkan harga. Berhampiran dengan KLCC, dalam 59km,” tulis kapsyen tersebut.

Iklan di Facebook itu kemudian diulang kongsi di platform X yang membuka lebih banyak ruang perbincangan.

Di platform itu, seorang individu gigih membuat carian di Google Maps untuk mengetahui jarak sebenar lokasi rumah ke KLCC.

Ia menunjukkan jarak sejauh 49km.

Seperti yang dijangka, ramai yang kurang bersetuju dengan cara ejen hartanah tersebut kerana boleh mengelirukan pembeli.

Ia juga dianggap menyelewengkan fakta kerana ayat ‘berhampiran’ itu sepatutnya tidak jauh dari 2km.

Begitupun menurut individu yang mengulang kongsi iklan tersebut, dia tidak pasti di mana lokasi sebenar rumah yang diuar-uarkan.

Baca juga: Gagal bayar RM4.96 juta untuk pelitup muka yang dipesan, Jovian Apparel bakal disaman