Pas mengutuk keras insiden ugutan bunuh terhadap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim dan menyatakan solidariti parti kepada pemimpin DAP itu.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Kok berhak mendapat semua perlindungan disediakan di bawah undang-undang dari sebarang perbuatan jenayah atau yang bertentangan dengan undang-undang.
Parti itu turut menuntut agar siasatan dan pendakwaan terhadap pihak yang terlibat disegerakan kerana kes keganasan dan merosakkan itu kerap berlaku kebelakangan ini melibatkan ahli politik, anggota pasukan keselamatan, ahli sukan dan sebagainya.
Takiyuddin yang juga Timbalan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) itu menegaskan bahawa perbuatan jenayah seperti ugutan bunuh terhadap Teresa Kok ini tidak boleh diterima sama sekali dalam masyarakat, lapor Malaysia Kini.
“Teresa (Kok) sebagai rakyat dan juga ahli Parlimen berhak mendapat semua perlindungan yang disediakan di bawah undang-undang negara, selain berhak menjalani kehidupan dengan aman dan bebas daripada ketakutan atau ancaman, baik sebagai individu mahupun ahli politik.
“Pas juga mengambil maklum bahawa pihak polis sudah memulakan siasatan kes di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan. Pas berharap ia dapat disegerakan kerana perbuatan jenayah seperti ini tidak boleh diterima sama sekali dalam masyarakat kita,” katanya memetik laporan Malaysia Kini.
Terdahulu, polis mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada Kok berhubung surat ancaman berisi dua butir peluru bersama sekeping kertas bersaiz A4 yang tertera perkataan ugutan bunuh.
Surat yang diletakkan dalam peti surat di kediaman Naib Pengerusi DAP pada Sabtu lalu itu tertulis perkataan berbaur ancaman iaitu, “C*b**lu Cina?!!! Lu akan mati!!! TUNGGU!!!”.
Dalam pada itu, Pas turut menggesa agar semua pihak mematuhi undang-undang, menjunjung budaya aman, menolak semua bentuk perbuatan atau kecenderungan yang boleh menggugat kesejahteraan dan keselamatan individu serta masyarakat tanpa mengira warna kulit, kepercayaan, pegangan politik dan sebagainya.
Tambah Takiyuddin, masyarakat mempunyai peranan yang sangat penting dalam memastikan keamanan dan ketertiban sosial dalam negara sentiasa terjamin serta dinikmati oleh semua pihak dan golongan.
Baca juga: Gagal bayar RM4.96 juta untuk pelitup muka yang dipesan, Jovian Apparel bakal disaman